Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Balu kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey, Noor Hidayah Mohd Ali kini mula didekati beberapa individu yang ingin mengenalinya. 

Perkara itu dikongsikan Hidayah, 32, ketika ditanya mengenai sama ada dia terbuka hati untuk menerima jodoh baharu selepas empat tahun pemergian suaminya. 

"Kalau ada jodoh, saya terima sahaja walau siapapun. Tapi, saya nak besarkan Hamzah (anak) dahulu. 

"Ada yang cuba mendekati. Tapi, saya tak balas pun DM mereka. Mereka tak melamar, tapi ada datang kedai dan nak berkenalan. Saya tak berminat, tapi belum masanya. 

"Kenalan rapat pun setakat ini tak ada lagi. Arwah tetap di hati saya. Jadi, susah untuk saya lupakannya," katanya kepada Harian Metro. 

Tambah Hidayah, sekiranya ada lelaki yang ingin mendekatinya untuk ke fasa selanjutnya, individu itu perlu juga menerima kehadiran anaknya. 

"Siapa yang nak berkenalan dengan saya, kena sayang dekat anak saya. Biar dia terima Hamzah dengan saya sekali. 

"Hamzah dah lima tahun. Dah sekolah dan dah mula pandai membaca," katanya. 

Hidayah ditemui di Tayangan Perdana Filem Tan-Ti-Ana yang berlangsung malam semalam dan dibintangi Abam, Atikah Suhaime, Jay Iswazir, Zalif Sidek dan ramai lagi. 

Di acara itu juga, Hidayah turut menerima sumbangan ikhlas daripada syarikat produksi Dream At Work. 

Untuk rekod, Hidayah dan Abam berumah tangga pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey. Abam kemudiannya meninggal dunia pada 10 Februari 2020. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 10:56 AM