Habib Husein Ja'far Al-Hadar
Habib Husein Ja'far Al-Hadar
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Husein Ja'far Al-Hadar dijadualkan menghadiri program Datum Munajat sempena sambutan ambang Tahun Baru 2024 di pusat beli belah, Datum Jelatek, di sini, Sabtu ini.

Lebih meriah, acara yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu ini turut dihadiri beberapa pendakwah dan selebriti terkenal menerusi beberapa pengisian menarik yang disediakan.

Antaranya Habib Nael Ben Taher, Syeikh Muhammad Siddiq dan Anas Abu Jaish.

Selain menyampaikan tazkirah dan berzikir bagi memuji kebesaran Allah SWT, terdapat juga persembahan istimewa daripada penyanyi terkenal, Datuk Ramli Sarip dan kumpulan Nur Ahli Badar yang akan turut memeriahkan acara itu.

Bukan hanya itu, hari kedua program munajat yang julung kali dibawakan itu turut dihadiri ramai selebriti tempatan yang akan membuat persembahan selain mengajak orang ramai berzikir secara berjemaah.

Antara pendakwah dan selebriti yang bakal memeriahkan acara itu ialah Waheeda, Akhil Hayy, Mawi, Issey, Sabri Yunus, Ardini Angeline Tan, Oja dan ramai lagi.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Korporat Datum Corp International Sdn. Bhd, Suzana Zakaria berkata, kelainan acara yang dianjurkan kali ini adalah bagi memenuhi aktiviti yang sesuai untuk semua lapisan umur dan bangsa.

"Ini adalah penganjuran kali pertama kami membawakan acara seumpama ini. Ia bertepatan dengan tema kami tahun ini iaitu mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.

"Jadi, sesuai dengan sasaran pengunjung di sekitar kawasan, kami berharap acara ini dapat dihadiri oleh orang ramai terutama yang beragama Islam.

"Program seumpama ini adalah satu inisiatif yang tidak pernah dibawakan mana-mana pusat beli belah. Jadi kami ingin membawa kelainan itu dan berharap acara ini akan dihadiri oleh lebih 3,000 masyarakat setempat," katanya.

Dalam pada itu, pengarah dan pelakon, Erma Fatima yang bertindak sebagai penyelaras acara pada hari pertama program itu berkata, dia menyambut baik usaha yang dilakukan pihak penganjur.

"Ini adalah satu dakwah yang berbeza. Kita tidak hanya mahu berdakwah di dalam masjid tapi kita nak kelainan dan lari daripada kebiasaan.

"Saya sangat berbesar hati apabila terdapat pusat beli-belah yang ingin menganjurkan program keagamaan sempena tahun baharu.

"Alhamdulillah pihak penganjur juga berjaya menghimpunkan ramai pendakwah dan selebriti yang akan sama-sama mengalunkan zikir dan menghiburkan pengunjung yang hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 5:23 PM