ISMAIL Sabri mengaminkan doa selepas solat hajat yang dipimpin oleh Dr Luqman pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri mengaminkan doa selepas solat hajat yang dipimpin oleh Dr Luqman pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini menyertai lebih 7,000 jemaah di Masjid Putra, di sini, bersempena program Munajat Keluarga Malaysia.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu diadakan bagi meraikan ulang tahun pertama pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri yang berbaju Melayu putih tiba di pekarangan masjid pada 8.20 malam sebelum disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Perdana Menteri kemudian menyertai jemaah menunaikan solat fardu Isyak serta sesi bacaan doa dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Acara munajat yang dipimpin pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid itu juga disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah bermula 9 malam.

Munajat Keluarga Malaysia berkenaan dijalankan serentak di lima lokasi selain di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, iaitu di Kedah, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Pada program itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pusat tahfiz, institusi pengajian pondok, premis kebajikan dan rumah anak yatim tertentu yang hadir menyertai acara itu.

Dengan tema Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia - Teguh Bersama, Munajat Keluarga Malaysia mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Putrajaya.

Terdahulu, bermula 2.30 petang, pelbagai program berteraskan rakyat diadakan termasuk Souq Jualan Rakyat Keluarga Malaysia dengan potongan harga sebanyak 50 peratus.

Pada program itu, kira-kira 600 individu asnaf menerima pelbagai barang keperluan harian termasuk ayam, beras, minyak masak dan telur.

Sementara itu Idris berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang genap setahun pentadbirannya hari ini sememangnya proaktif dalam membantu rakyat menerusi program berorientasikan rakyat.

Beliau berkata, dengan cabaran pandemik yang melanda negara, program turun padang giat dilaksanakan bagi menyantuni rakyat yang memerlukan.

"Alhamdulillah selepas setahun penekanan yang diberikan kebetulan waktu Ismail Sabri naik, pandemik masih lagi kemuncak maka seluruh agensi, kementerian diarahkan untuk memastikan supaya kita dapat menyantuni rakyat terutamanya golongan B40.

"Sebanyak 14 agensi di bawah saya turut menyahut seruan itu dan boleh katakan setiap minggu kita mengadakan program sumbangan yang merangkumi seluruh pelosok negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 9:52 PM