ARTIS dan pendakwah yang terbabit.
ARTIS dan pendakwah yang terbabit.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Berbanding dahulu, masyarakat kini semakin terbuka menerima hiburan berbentuk positif yang ditampilkan sempena Hari Kemerdekaan. Program menampilkan barisan penceramah terkenal seperti Ustaz Azhar Idrus dan artis nasyid berjaya mencatat bilangan penonton di luar dugaan.

Justeru, sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-58, Selayang Care berkolaborasi dengan Majlis Perbandaran Selayang menganjurkan program Malaysiaku Merdeka ‘Pray4Ummah’.

Program ini membariskan selebriti terkenal tanahair antaranya Caliph Buskers, Mel (bekas vokalis Wings), Mustar Kilauan Emas, Man Raja Lawak, Fynn Jamal, Salima Habibi, UNIC dan Shoutul Amal.

Barisan pendakwah selebriti yang terbabit pula ialah Ustaz Don Daniyal, Ustaz Harryanto, Ustaz Zamri (TV9), Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joffre, Ustaz Halim Hafiz serta finalis rancangan Adik-Adikku TV1, Qayyim.

Program ini bakal dimeriahkan dengan kemunculan istimewa pelakon, Nasir Bilal Khan yang terkenal dengan watak Tok Adi menerusi drama Tanah Kubur.

Akan berlangsung di pekarangan Stadium Selayang pada 30 Ogos ini jam 5 petang, acara akan dimulakan dengan pertandingan Merdeka Accoustic Battle yang menawarkan hadiah wang tunai.

Selepas solat Maghrib acara akan diteruskan dengan ceramah yang akan disampaikan Ustaz Don dan Ustaz Zamri.

Pengarah program, Mohd Firdaus Mazlan berharap penganjuran kali ini mendapat sambutan hangat seperti tahun lalu.

“Program tahun lalu diadakan sempena Hari Kemerdekaan juga tapi lokasinya berbeza. Pendakwah yang ditampilkan adalah Ustaz Azhar Idrus dan berjaya menarik 15,000 penonton.

“Kali ini kami wujudkan kelainan dengan mengetengahkan konsep dua dalam satu iaitu sempena Hari Kemerdekaan dan berdoa untuk kesejahteraan ummah,” katanya.

Menurut Firdaus, program yang turut mendapat sokongan kerajaan Selangor ini seimbang apabila persembahan diselang-selikan dengan ceramah agama.

“Kami tak menolak hiburan namun perlu diselitkan pengisian agama demi manfaat penonton.

“Ikutkan kami jemput ramai lagi selebriti, tetapi mereka tidak dapat turut serta kerana sudah terikat dengan program lain.

“Saya percaya program ini akan dapat sambutan hangat meskipun pada hari itu ada banyak acara lain,” katanya.

Sementara itu, barisan artis teruja terpilih menjayakan program ini berikutan kelainan konsep yang diketengahkan.

Menurut Mel, dia sudah beberapa kali terbabit dengan program anjuran Selayang Care.

“Peminat semakin cenderung dengan program berkonsepkan agama dan lebih berfaedah. Acara sebegini perlu lebih kerap diadakan berbanding pesembahan melalaikan.

“Saya lihat ibu bapa semakin terbuka apabila membawa anak-anak menonton persembahan sebegini. Ia turut memperlihatkan kebangkitan ulama senior dan muda sekali gus memeriahkan dunia dakwah tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 11:05 AM