ADIRA. FOTO Arkib NSTP
ADIRA. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Peguam syarie yang mewakili suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu iaitu Muhammad Akmal Amzan memaklumkan punca penyanyi itu memfailkan perceraian buat kali kedua kerana sudah tiada persefahaman antara mereka.

Menurut Akmal, anak guamnya yang juga dikenali sebagai Datuk Red itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat Adira dan mahu mempertahankan bahtera rumah tangga dibina.

"Punca Adira memfailkan perceraian adalah kerana tiada lagi persefahaman. Saya tidak boleh kongsikan secara terperinci.

"Namun, anak guam saya (Datuk Red) tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat kerana ingin menyelamatkan rumah tangga mereka," katanya kepada media.

Menurut Akmal, sebutan kes yang berlangsung semalam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor, bagi melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan tidak dapat diteruskan susulan wakil anak guamnya tidak dapat menghadirkan diri.

"Kami baru dimaklumkan perkara itu. Sebenarnya wakil sudah ada cuma dia tidak dapat hadir sebab ada urusan yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes itu pada 18 Disember ini.

Terdahulu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, hadir di Mahkamah Syariah Gombak Barat, Rawang, pagi semalam.

Kehadiran ibu kepada empat cahaya mata itu ditemani kakaknya Emma, selaku wakil bagi sesi JKP susulan permohonan perceraian yang dibuat terhadap suaminya pada 25 Oktober lalu.

Permohonan itu diajukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor bersandarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Tindakan itu sekali gus menjadi permohonan kedua Adira selepas menfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019 iaitu ketika hamil anak ketiga mereka.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 6; Asan, 5; Anggun, 4; dan Ayob yang kini berusia setahun.

Manakala perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun, namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:13 PM