DATUK Red
DATUK Red

Kuala Lumpur: Suami kepada Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan mendedahkan dia turut bakal kehilangan isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafika Hassim.

Adnan atau lebih dikenali Datuk Red berkata, keputusan kedua-dua isterinya yang memfailkan perceraian bukan satu pakatan sebaliknya berlaku secara kebetulan.

"Mereka tidak ada pakatan (bercerai). Ia berlaku secara kebetulan. Masing-masing ada hak sendiri dan itu permohonan mereka sendiri. 

"Bagaimanapun sebagai ketua keluarga saya perlu mempertahankan rumah tangga ini. 

"Orang luar mungkin lihat saya masih mampu tersenyum tetapi di sebaliknya hanya saya saja tahu. 

"Bayangkan sekarang ada dua isteri, tapi  boleh hilang dengan sekelip mata. Kalau kenangkan dulu, mungkin boleh cari wanita lain tapi sekarang tidak, lebih-lebih lagi anak pun sudah ramai dan makin membesar," katanya. 

Menurut Datuk Red, dia sudah berulang kali memohon maaf kepada kedua-dua isterinya tetapi keputusan mereka tetap sama.

"Saya tetap nak pertahankan apa yang saya miliki. Saya juga manusia, lalai dan sering minta maaf tapi perkara ini tetap berulang (perpisahan). 

"Saya tidak nafikan, dalam rumah tangga banyak berlaku perselisihan faham dan saya akan tetap berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga ini," katanya.

Terdahulu Datuk Red hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang bagi prosiding keputusan laporan Jawatakuasa Pendamai (JKP) pagi ini. 

Bagaimanapun proses itu gagal menemui jalan penyelesaian dan mahkamah melanjutkan kepada proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April depan. 

Sebelum ini, peguam yang mewakili Datuk Red iaitu Muhammad Akmal Azman memaklumkan anak guamnya turut berdepan dengan permohonan perceraian yang difailkan isteri pertama Datuk Red di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 18 Mac ini. 

Sebelum ini,  Adira memfailkan penceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman pada 25 Oktober tahun lalu.

Untuk rekod, Adira pernah memfailkan penceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan itu demi anak-anak. 

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertamanya iaitu Datin Red mempunyai lima orang cahaya mata.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 1:57 PM