Datuk Seri Adnan
Datuk Seri Adnan
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Adik-beradik dia pun tak kenal rapat dengan dia. Saya dan Adira sudah bersama hampir lapan tahun, gila lah kalau saya tak sayangkan dia lagi."

Demikian kata suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan yang tidak pernah berhenti mencintai isterinya itu sekali gus mahu mempertahankan rumah tangga dibina.

"Macam saya cakap sebelum ini, bukan dugaan tapi balasan. Kadang-kadang kita jadi suami, sebenarnya macam ibarat lilin tapi saya macam duri pula.

"Saya berkeras nak pertahankan rumah tangga ini semuanya demi anak-anak saya," katanya.

Menurut Adnan atau mesra disapa sebagai Datuk Red, dia mempunyai masa untuk memujuk isterinya sebelum tarikh proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April ini.

"Saya percaya dalam hati Adira masih ada lagi untuk saya. Tapi mungkin keputusan kali ini berbeza sebab kadang-kadang perempuan ini ada had, matang dan ada mampu usaha sendiri, jadi dia nampak boleh berdikari.

"Saya cuba juga untuk memujuk dia sebab ada masa lagi sehingga bulan April. Insya-Allah dapatlah kami beraya bersama. Kami juga masih duduk satu rumah, dia juga yang gosokkan baju saya datang ke mahkamah.

"Sebab itu saya masih rasa ada peluang lagi, anak-anak pun sangat rapat dengan saya. Kalau Adira sibuk, saya yang akan menguruskan anak-anak," katanya.

Semalam keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur gagal menemui jalan penyelesai dan mahkamah memutuskan proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April ini.

Terdahulu, pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.

Untuk rekod, Adira pernah memfailkan perceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan tersebut demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertamanya iaitu Datin Red mempunyai lima orang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 3:44 PM