Penyanyi, Bienda. Foto Aziah Azmee
Penyanyi, Bienda. Foto Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Bienda berkongsi rasa syukur dan gembiranya apabila diundang beraksi dalam Konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity Live @ Istana Budaya pada 5 Januari depan. Menurut Bienda, dia tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian dan tawaran ini julung kalinya diterima selepas lama menyepi.

"Saya memang rindu kerana dah lama tak menyanyi. Saya sebenarnya dah lama tak menyanyi dalam persembahan terbuka dan ini kira 'comeback' juga untuk saya dalam industri.

"Terima kasih kepada Dr Fitri Haris dan isterinya El yang menjemput saya untuk terbabit sama. Ia adalah sesuatu yang besar membabitkan ramai artis lain. Saya sangat gembira bercampur gemuruh dan berharap konsert ini dapat beri manfaat dan kebaikan untuk semua.

"Tambah lagi matlamat utamanya adalah untuk beri sokongan kepada penduduk Gaza Palestin," katanya ditemui pada sidang media Konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity Live @ Istana Budaya di Istana Budaya.

Bienda yang popular menerusi lagu Penantian berkata, ramai yang salah faham menganggap dia sudah bersara sedangkan dia sebenarnya menanti tawaran untuk menyanyi.

"Saya bermula dari menyanyi, kemudian berlakon dan seterusnya penyampai radio. Show itu ada tapi lebih kepada persembahan tertutup. Tawaran konsert itu yang tiada. Tak tahulah kenapa.

"Mungkin dulu saya bermula dengan nasyid. Semasa zaman nasyid, saya rapat dengan Rabbani dan Allahyarham Ustaz Asri banyak bawa saya buat show. Bila keluar dengan album solo, tawaran itu dah kurang.

"Mudah-mudahan rezeki saya dalam nyanyian akan kembali semula bermula dengan konsert ini," katanya yang kini aktif berniaga tudung dan jubah jenama Bienda Lavienda dan Papapau Bienda Gebu.

Mengulas berkenaan single terbaru, Bienda berkata, perkara ini juga dalam perancangan.

"Beberapa pihak termasuk senior saya, Waheeda Wassini ada tawarkan tapi saya sibuk dengan bisnes dan belum sempat lagi untuk uruskannya.

"Saya nak buat lagu tapi mestilah ke arah ketuhanan. Ia macam saya kembali kepada zaman saya bersama Solehah. Saya tak nak lagu-lagu cinta lagi.

"Baru-baru ini saya pergi umrah dan kebetulan terserempak dengan bekas anggota Solehah iaitu Datin Shahida. Kami merancang nak buat single nanti. Menariknya kita hanya terserempak apabila pergi umrah dan tak berjumpa di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 1:02 PM