Persembahan Mawi sempena Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0. Foto Hazreen Mohamad
Persembahan Mawi sempena Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0. Foto Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi dan penyampai radio, Mawi mendedahkan dia hanya mengucapkan takziah kepada Ina Naim dan keluarganya atas pemergian suaminya Allahyarham Mohd Suhaimi Saad di Instagram.

Menurut Mawi atau nama sebenar, Asmawi Ani, 42, dia juga tidak berhubung dengan Ina atau nama sebenar, Nordiana Mohd Naim, 39, mahupun keluarganya dan hanya mengetahui berita pemergian arwah Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid In-Team menerusi media sosial.

Allahyarham Suhaimi meninggal dunia jam 7.40 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat jangkitan kuman di paru-paru pada 15 November lalu.

"Saya berasa sudah cukup untuk ucap takziah buat Ina dan keluarganya di media sosial sahaja.

"Saya juga tidak perlu berhubung dengannya kerana yang penting doa. Doa dalam diam itu lebih baik dan ikhlas," katanya ketika ditemui selepas Konsert Simfoni Kesyukuran menampilkan kumpulan nasyid Rabbani, Zizi Kirana, Adeep Nahar dan kumpulan Aeydan di Zepp KL, malam semalam.

Ditanya sama ada dia mengetahui arwah Suhaimi sedang sakit sebelum ini, kata Mawi, dia juga mengetahui perkara itu di media sosial.

Sementara itu, ditanya sama ada dia ada merancang untuk memberi bantuan buat Ina dan anak-anaknya pula, Mawi enggan mengulasnya.

"Mendoakan dan membantu itu biarlah ia menjadi rahsia saya sahaja," katanya.

Terdahulu, Mawi pernah bertunang dengan Ina pada 10 Februari 2004 tetapi hubungan itu putus pada 10 Julai 2006.

Setahun selepas itu, Ina berkahwin dengan arwah Suhaimi pada 12 Ogos 2007.

Hasil perkongsian hidup dengan Suhaimi, Ina dikurniakan empat cahaya mata.

Manakala, Mawi pula berkahwin dengan Ekin atau nama sebenar, Nora'Asikin Rahmat pada 20 Disember 2008 dan dikurniakan seorang anak, Cahaya Malaika, 11 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 11:25 PM