Coldplay
Coldplay

Kuala Lumpur: "Sesiapa yang tak senang kami akan datang (ke Malaysia), maaflah, tapi kami pun sayang anda," kata penyanyi Coldplay, Chris Martin, 46.

Martin menjawab soalan berhubung kehadiran mereka ke sini untuk mengadakan konsert pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil yang tidak menyenangkan segelintir pihak.

Coldplay yang dianggotai Martin, Jonny Buckland (gitar), Guy Berryman (bass) dan Will Champion (dram) mengakui mereka sentiasa mengalu-alukan sesiapa juga tanpa mengira latar belakang untuk menghadiri konsert mereka khususnya rakyat Malaysia.

"Setiap kali berjumpa orang Malaysia, saya senang dan dapat merasakan kasih sayangnya. Semua dialu-alukan ke persembahan kami. Kami sayang semua, semua jenis orang, semua agama, semua pemimpin, semua pengikut, tiada yang diketepikan.

"Kami nak sangat anda datang ke persembahan kami dan bebas menjadi diri sendiri, bebas bagi orang lain menjadi diri mereka," katanya.

Martin berkata demikian dalam temubual bersama stesen radio tempatan, di sini.

Martin berkata, sejak sekian lama mereka sangat menyanjung Malaysia dari jauh. Kuala Lumpur memang lokasi idaman untuk mereka mengadakan konsert sejak dulu lagi.

"Saya rasa sangat teruja dan bersyukur. Kami sangat bertuah dengan pekerjaan kami. Satu daripada misi kali ini adalah berkunjung ke tempat-tempat yang belum pernah dilawati dan susah kami buat persembahan.

"Kuala Lumpur adalah satu tempat yang kami sudah impikan untuk lawati sekian lama. Saya cuma sangat bersemangat dan seronok kerana dapat datang dan melawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 10:57 AM