Nadia Annuar. Foto Instagram Nadia Annuar
Nadia Annuar. Foto Instagram Nadia Annuar
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pengacara Nadia Annuar bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan kaca cermin tingkap yang dipecahkan ketika menjadi mangsa samun dua suspek bermotosikal.

Nadia atau nama lengkapnya Nadia Shahrul Annuar, 39, dimaklumkan pihak polis, berkemungkinan penjenayah itu sudah mengekorinya dan menunggu peluang sebelum dirompak di lampu isyarat berhampiran Jalan Imbi di sini, malam tadi.

"Syukur alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan serius. Cuma calar-calar kecil sahaja. Nasib baik kaca tidak terkena pada mata.

"Mungkin perompak itu sudah lama mengekori saya. Bila tiba di lampu isyarat, mereka dengan pantas memecahkan cermin tingkap menggunakan 'spark plug' yang ditemui di dalam kereta.

"Nasihat saya selepas ini, berhati-hatinya ketika memandu dan sentiasa peka. Penjenayah sekarang tidak mengira tempat dan lokasi. Di tempat yang sesak dan ramai orang pun masih berlaku kejadian rompakan," katanya.

Nadia yang masih trauma menasihati pengguna kereta supaya lebih peka dan berhati-hati supaya tidak meletakkan barangan di tempat duduk penumpang kerana boleh berisiko menjadi mangsa samun.

Ketika ditanya mengenai anggaran kerugian yang ditanggung, Nadia berkata, dalam beg miliknya itu tidak mempunyai jumlah wang tunai yang banyak iaitu sekitar RM50 hingga RM150 sahaja, namun dompet yang dilarikan bernilai sekitar RM3,000.

Mengimbas kembali kejadian itu, Nadia memberitahu dua penjenayah menunggang motosikal bertindak memecahkan tingkap cermin tempat duduk bahagian hadapan penumpang dan melarikan beg tangan yang diletakkan di atas tempat duduk.

Malah, kerana terlalu panik dia tidak sempat untuk melihat nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang suspek dan hanya mampu membunyikan hon selepas kejadian itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 11:45 PM