Nadia Annuar. Foto dari IG nadiaannuar
Nadia Annuar. Foto dari IG nadiaannuar
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pengacara Nadia Annuar mengakui dia kini berasa takut untuk memandu kereta sendirian selepas menjadi mangsa kejadian samun di Jalan Imbi, baru-baru ini.

Menurut Nadia atau nama sebenar, Nadia Shahrul Anuar, 39, dia juga sudah memasang cermin gelap pada keretanya dengan kadar ketelusan cahaya yang tinggi sebagai langkah keselamatan.

"Saya juga lebih berhati-hati ketika memandu kereta dan pastikan diri mengambil segala langkah keselamatan yang perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis pelancaran butik baharu jenama tempatan, Mimpi Kita di The Exchange TRX, hari ini.

Pada masa sama, kata Nadia, dia juga menasihatkan kaum wanita supaya lebih peka dengan aspek keselamatan diri terutama bila memandu kereta sendirian termasuk ketika di tempat letak kenderaan.

"Walaupun hanya sekadar beg untuk beli barangan dapur sekalipun jangan letak di tempat duduk penumpang kerana ia boleh menarik perhatian penjenayah," katanya.

Mengulas kejadian samun itu, kata Nadia yang juga anak usahawan popular Zaiton Hassan, ibu juga memintanya supaya sentiasa bersyukur dan menganggap kejadian samun yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya.

"Alhamdulillah, semua urusan berkaitan dokumen seperti kad pengenalan, kad bank, kad kredit dapat diselesaikan segera.

"Jika nak diikutkan, saya memang berasa sakit hati atas kejadian yang berlaku kerana kehilangan semua dokumen penting dan perlu buat semula yang baharu.

"Namun, menurut ibu, saya seharusnya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan teruk kerana nyawa lebih penting dari kehilangan wang ringgit," katanya.

Terdahulu, dalam laporan sebelum ini, Nadia memberitahu dirinya bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan kaca cermin tingkap yang dipecahkan ketika menjadi mangsa samun dua suspek bermotosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 9:56 PM