LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Nadia Brian memohon semua pihak supaya bertenang dan mendoakan kesejahteraan rumah tangganya. 

Nadia ketika dihubungi bagi menjawab teka teki mengenai konflik rumah tangganya selepas suaminya, Muizz Nasruddin memuat naik gambar berserta kapsyen di Instagram, yang memberi gambaran mengenai pergolakan antara mereka. 

"Saya harap semua pihak dapat bertenang dan doakan yang terbaik untuk rumah tangga kami. Mungkin dengan berkongsi di media sosial, dia dapat luahkan isi hatinya," katanya kepada Harian Metro. 

Katanya lagi, dia menganggap apa yang berlaku ketika ini sebagai ujian bukan saja buat dirinya, tetapi juga rumah tangganya. 

"Saya anggap ini ujian untuk diri saya sebagai manusia dan sebagai isteri dalam rumah tangga saya," katanya. 

Nadia yang juga bintang filem Ratu Kala Jengking itu tidak menafikan ada pasang surut dalam rumah tangganya. 

"Dalam kehidupan berumah tangga, tentunya ada pasang surut dan naik turunnya. Saya pun manusia biasa dan tidak sempurna. 

"Namun begitu, tidak ada apa-apa yang memudaratkan dan saya harap, warganet di luar sana dapat berhenti membuat sebarang spekulasi," katanya. 

Nadia juga berharap agar kemelut yang berlaku dalam rumah tangganya akan dapat diselesaikan. 

"Kadang-kadang, sebagai suami isteri mestilah akan ada perselisihan faham. Tapi, semua masalah ada penyelesaiannya," katanya. 

Terbaru, Nadia baru saja selesai menjalani penggambaran untuk beberapa program TV antaranya The Sherry Show dan Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom. 

Berita berkaitan

  • 'Sakitnya dikhianati, dikecewa dan dihina orang tersayang'
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 8:57 PM