Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur di Mega Star Arena semalam. Foto Ihsan Yolo Malaysia
Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur di Mega Star Arena semalam. Foto Ihsan Yolo Malaysia
Aksi Ariel bermain gitar sambil menyanyi. Foto Ihsan Yolo Malaysia
Aksi Ariel bermain gitar sambil menyanyi. Foto Ihsan Yolo Malaysia
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Kumpulan popular Indonesia, Noah menghiburkan lebih 5,500 peminat pada Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, semalam.

Mengotakan janji, peminat yang tidak berpeluang menyaksikan band berusia 22 tahun itu membuat persembahan di Zepp KL pada tahun lalu kini melepaskan kerinduan di lokasi berbeza.

Sebelum ini, Konsert Noah Live In KL yang berlangsung pada 12 November 2022 dihadiri lebih 2,500 penonton tempatan termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia dengan tiket disapu licin kurang dua jam selepas jualan dibuka.

Sama seperti jualan tiket buat konsert kali ini, turut habis dijual. Malah, rata-rata peminat yang hadir membanjiri konsert mengikut tema iaitu putih dan merah.

Vokalis Noah iaitu Ariel atau nama sebenar, Nazril Irham meluahkan penghargaan terhadap sokongan peminat sepanjang kerjaya seni mereka.

"Tahun lalu lokasi kita dikatakan terlalu kecil jadi kita buat di tempat yang lebih besar. Tetapi jika dilihatkan lokasi ini juga masih kelihatan kecil kerana sangat ramai yang hadir malam ini.

"Terima kasih banyak semua yang hadir. Ini akan jadi persembahan terakhir kami di sini kerana kami akan cuti panjang.

"Kami punya sejarah yang lumayan di sini, jadi suka atau tidak, tetap harus terima. Sudah hampir 20 tahun kami menyanyi. Kami akan merindukan kamu semua, yang selalu menjadi penonton yang memberikan penyertaan luar biasa. Terima kasih banyak Malaysia, kami sangat menghargai waktunya malam ini. Diharap semua akan menyanyi bersama lagu Mungkin Nanti yang merupakan lagu terakhir," katanya.

September lalu, ketika menjayakan Konsert The Great Journey Noah di Lembang, Bandung Barat, Indonesia, vokalis Noah, Ariel dilapor mengumumkan kumpulan muzik itu mahu berehat panjang, iaitu mengikut tempoh yang belum ditentukan.

Noah yang dianggotai Ariel selaku vokal utama, Lukman (gitaris) dan juga David (pemain keyboard) memulakan persembahan dengan lagu Topeng tepat jam 8.50 malam, di mana Ariel muncul dari bawah membawanya ke tengah-tengah pentas mini berkuasa hidrolik, lantas disambut dengan sorakan memecah keheningan.

Kemudian, Noah mempersembahkan lagu-lagu popular mereka seperti Separuh Aku, Menemaniku, Menunggumu, Ku Katakan Dengan Indah, Ada Apa Denganmu, Khayalan Tingkat Tinggi, Tak Bisakah, Bintang Di Syurga serta lagu malar segar ketika bersama Peterpan, Mungkin Nanti sebelum menutup tirai tepat jam 11 malam.

Penyanyi rap, Joe Flizzow turut membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu baharu Noah berjudul Suara Dalam Kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 2:32 PM