ST12 hiburkan penonton dengan lagu-lagu hit mereka.
ST12 hiburkan penonton dengan lagu-lagu hit mereka.
Yun Mikail

Konsert ST12 & Nidji Live In Sabah yang berlangsung baru-baru ini disifatkan sebagai sebuah festival muzik antarabangsa.

Lebih 4,000 penonton yang memenuhi ballroom utama Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), konsert menggabungkan dua nama berpengaruh dalam industri muzik Indonesia itu menyajikan persembahan 30 buah lagu popular mereka.

Tidak melupakan tradisi tempatan Sabah, tirai konsert dibuka dengan persembahan muzik tradisi daripada Razali Kulintangan melalui lagu Sumandak Sabah dan Original Sabahan yang dimainkan instrumental selain disusuli petikan gitar oleh YouTuber terkenal, Anwar Amzah untuk lagu Cari Pacar Lagi serta Hapus Aku.

Saling menunjukkan kehebatan, ST12 dan Nidji masing-masing memberikan adrenalin luar biasa sepanjang lebih tiga jam tanpa henti konsert dipentaskan.

Malah, kelincahan penyanyi Nidji, Ubay dan dua penyanyi ST12 iaitu Aris Idol dan Firman Siagian tatkala menyanyikan lagu-lagu hit dua kumpulan itu umpama menyuntik tenaga kepada penonton untuk kekal sehingga ke akhir konsert.

Antara 16 lagu kumpulan ST12 yang dimainkan dalam konsert itu termasuklah Puspa, Rasa Yang Tertinggal, Cukup Sampai Di Sini, Putri Iklan, Cari Pacar Lagi, Aku Terjatuh dan Putih-Putih Melati.

Selain itu, Firman yang popular dengan lagu Kehilangan tidak ketinggalan mendendangkan lagu berhantunya itu.

Penonton yang hadir bersorak dan menyanyi bersama apabila alumni Indonesian Idol itu menyanyikan single yang banyak menaikkan namanya sebagai penyanyi solo suatu ketika dulu.

Dihoskan selebriti serta boleh, Zizan Razak dan penyampai Era Sabah, Adnan, penonton turut dikejutkan dengan kemunculan lagenda rock tanah air, Datuk Amy Search yang menyanyikan lagu Isabella bersama ST12.

Sementara itu, Nidji yang sudah lebih dua dekad dalam industri muzik pula tampil dengan 13 buah hit sepanjang zaman mereka seperti Arti Sahabat, Bila Aku Jatuh Cinta, Ku Takkan Bisa, Hapus Aku dan Laskar Pelangi.

PENONTON dikejutkan dengan kemunculan Amy Search.
PENONTON dikejutkan dengan kemunculan Amy Search.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 6:20 AM