AMY muncul ketika ST12 menyanyikan lagu Isabella. - Mohd Adam Arini
AMY muncul ketika ST12 menyanyikan lagu Isabella. - Mohd Adam Arini
Yun Mikail


Kemunculan Datuk Amy Search ketika persembahan kumpulan dari Indonesia, ST12 di Konsert ST12 & Nidji Live In Sabah, baru-baru ini mengejutkan ST12.

ST12 yang pernah merakam semula lagu Isabella daripada Search dengan susunan muzik berbeza bagi album P.U.S.P.A (Repackage) 14 tahun lalu, menyifatkan kemunculan Amy bukan saja penampilan istimewa buat penonton, tetapi kejutan saat akhir buat mereka.

Amy berada di Sabah bagi menjayakan Konsert Sentuhan Agro Madani peringkat Sabah di perkarangan Kompleks Sukan Likas muncul di pentas konsert yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menyanyikan lagu Isabella bersama ST12.

Penyanyi ST12, Firman Siagian bersama Aris Idol juga dilihat berkongsi keterujaan bersama penonton tatkala melihat kemunculan penyanyi legenda itu.

Malah, pemain bass ST12, Indra dilihat memberikan 'standing ovation' sebelum memeluk penyanyi berusia 65 tahun itu.

Pemain drum ST12, Ilham Febry atau Pepep berkata, kehadiran Amy bagaikan menyuntik semangat buat ST12 memberikan persembahan bertenaga.

"Kita terkejut apabila penganjur memaklumkan Amy mahu hadir dan membuat penampilan sewaktu ST12 menyanyikan lagu Isabella.

Datuk Amy Search - Mohd Adam Arini
Datuk Amy Search - Mohd Adam Arini

"Ini adalah penghargaan serta penghormatan buat kami kerana beliau memang menjadi salah seorang idola ST12 sejak dulu.

"Kami pastinya rasa terharu kerana Amy sendiri yang menawarkan diri untuk hadir di pentas bersama kami untuk konsert di Sabah kali ini," katanya.

Ditanya sama ada ST12 mempunyai perancangan merakam lagu bersama Amy, Pepep berkata, mereka sentiasa menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan Amy.

Menurut Pepep, Amy mempunyai ciri vokal khas yang tidak terdapat pada penyanyi lain dan kelebihan itulah mampu meletakkannya pada kedudukan tersendiri dari dulu hingga sekarang.

"Kita berharap mudah-mudahan dia boleh bekerjasama dengan ST12 sama ada melalui penghasilan sebuah lagu baharu atau membuat nyanyi semula lagu-lagu lama Search dengan diberi nafas baharu oleh ST12." katanya.

Dalam konsert itu, ST12 menghiburkan peminat dengan 16 buah lagu popular mereka. Antaranya ialah Putri Iklan, Putih-Putih Melati, Aku Masih Sayang, Cari Pacar Lagi dan Rasa Yang Tertinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 6:50 AM