PUTERI Sarah Liyana. FOTO Arkib NSTP
PUTERI Sarah Liyana. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Hantaran pelakon, Puteri Sarah Liyana di Instagram Story memaparkan perbualannya dengan bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam menyentuh hati ramai pengikutnya di platform media sosial itu. 

Dalam hantaran itu, Sarah meluahkan rasa rindu kepada Yusof dan isteri, Datin Patimah Ismail yang masih mengambil berat akan keadaannya walaupun sudah berpisah dengan anak mereka, Syamsul Yusof. 

"Rindu papa dan mama. Maaf, Sarah sibuk kerja. Ya Allah, jagakan kedua ibu bapa mentuaku. Semoga diberikan afiyah dan dipermudahkan segala urusan mereka," tulisnya. 

Perbualan itu memaparkan bagaimana kasihnya Yusof dan Patimah kepada Sarah yang masih dianggap sebagai menantu. 

"Papa, mama, tetap anggap Sarah menantu. Kuatkan semangat. Jangan kerja kuat sangat. Jaga kesihatan. Jangan stress (tertekan) sangat. Bahaya kepada kesihatan," tulis Yusof. 

Sementara itu, Sarah berkongsi kegembiraannya meraikan hari graduasi sekolah anaknya, Syaikhul Islam, semalam. 

Turut kelihatan kedua-duanya anaknya, Syaikhul dan Sumayyah membuat persembahan sempena hari graduasi itu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:44 PM