Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Puteri Sarah Liyana, 38, mengakui perkara yang paling dikesalkan ketika ini ialah berkahwin dengan Syamsul Yusof, 39.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat mentua iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail yang disifatkan terbaik dalam hidupnya.

Puteri Sarah turut menyifatkan Syamsul sebagai 'lelaki narsisistik' iaitu sejenis gangguan personaliti di mana seseorang individu itu mempunyai rasa kepentingan terhadap dirinya sendiri.

Hari ini, Puteri Sarah juga memadam semua hantaran dibuatnya sebelum ini di Instagram mengenai konflik rumah tangga mereka kerana sudah penat dengan urusan perceraian yang belum selesai.

Dia juga sudah tidak peduli sekiranya Syamsul mahu membayar nafkahnya atau tidak kerana dia tidak mahu sesen pun harta Syamsul.

"Saya padam semua hantaran saya sekarang bukan kerana takut, tetapi saya sangat penat. Serius, saya penat dengan semua drama ini.

"Kepada Mohd Shamsul (Syamsul Yusof), kau tak nak bagi nafkah aku? Suka hati kau. Kau nak menang? Kau menanglah, aku kalah. Kau jawab kat akhirat nanti. Saya hanya mahu keluar dari perkahwinan toksik ini.

"Saya hanya mahu teruskan kehidupan dan bergembira dengan anak-anak saya.

"Mama dan papa akan sentiasa kekal pada saya sebagai mama dan papa hingga ke syurga. U (Awak) nak menang? U (Awak) ambillah semua harta u (awak). Aku tak nak satu sen pun. Cuma hak anak sebagai ayah bertanggungjawab. Lepaskan aku, ceraikan aku," tulisnya.

Tidak hanya itu, Puteri Sarah juga memuat naik video berdurasi satu minit dan 31 saat untuk menjelaskan segala terbuku di hatinya dengan linangan air mata.

Katanya, dia tidak mahukan harta Syamsul kerana boleh bekerja mencari rezeki dan meminta diceraikan secara baik untuk mencari kebahagiaan sendiri selepas sekian lama tidak mendapat layanan dan kasih sayang sebagai isteri yang sewajarnya.

Sementara itu, semakan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen memberi semangat kepada Puteri Sarah untuk terus bersabar dan teruskan perjuangannya.

Mereka juga mendoakan Puteri Sarah mendapat pembelaan diri dan anak-anak daripada kemelut rumah tangga berpanjangan itu dengan kejayaan berpihak kepadanya juga.

Pada 18 April lalu, Syamsul tidak jadi melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, selepas kedua-dua belah pihak didapati gagal mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 2:54 PM