Penyanyi, Zaiton Sameon. Foto Aziah Azmee
Penyanyi, Zaiton Sameon. Foto Aziah Azmee
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, saya berasa terharu dan bersyukur kerana pihak Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) prihatin dengan masalah kesempitan hidup artis veteran seperti kami," kata penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67.

Zaiton berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave yang mengesahkan penyanyi itu menjadi penggiat seni kesembilan yang menerima pencen sebanyak RM500 sebulan daripada yayasan mulai bulan depan.

Menurut DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, Zaiton memang layak dibantu dengan bantuan pencen bulanan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya itu.

Selain itu, Zaiton juga pemegang Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak).

Menurut Zaiton, bantuan pencen bulanan daripada YKAT berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggungnya itu.

"Setakat ini, pihak YKAT masih belum hubungi saya mengenai pencen bulanan itu dan saya hanya mengetahui berita mengenainya menerusi kenyataan yang disiarkan di akhbar.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM500 bermula pertengahan bulan ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, kata penyanyi lagu Menaruh Harapan ini, dia juga berharap mendapat undangan persembahan kerana percaya dirinya masih boleh menyanyi untuk menyara hidup.

"Sejak kisah saya perlukan bantuan kewangan tersiar, pihak JKM ada menawarkan saya buat persembahan dalam satu majlis di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

"Saya juga banyak berlatih menyanyi di rumah kerana ada segelintir pihak yang tidak percaya saya masih boleh menyanyi.

"Kalau buat persembahan, selalunya penganjur minta saya mendendangkan lagu popular seperti Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar," katanya.

Ditanya soal bayaran pula, kata Zaiton, dia tidak kisah soal bayaran kerana yang penting dia dapat menyanyi.

"Saya tidak kisah soal bayaran tetapi janganlah bayar harga yang rendah sangat dan tidak berbaloi pulak. "Tahap kesihatan saya juga baik ketika ini dan kalau setakat nak memenuhi undangan persembahan tu tiada masalah," katanya yang kini tinggal bersama anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, sejak penghujung 2010.

Zaiton sebelum ini mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:47 PM