BARISAN artis Semangat Zaman berjanji memberikan persembahan menarik malam ini.
BARISAN artis Semangat Zaman berjanji memberikan persembahan menarik malam ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Malam yang ditunggu-tunggu peminat muzik rock pertengahan 1980-an yang dihiasi pelbagai peristiwa serta memori suka dan duka.

Lokasi popular Zepp Kuala Lumpur pasti akan gamat dengan Konsert Semangat Zaman menampilkan Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Muss, Rahmad, Joey, Jatt dan Bandi yang beraksi malam ini.

Lagu popular mereka yang bakal dinyanyikan pastinya mengundang keterujaan peminat untuk sama-sama menyanyi, sekali gus mewujudkan 'pentas karaoke' terbuka yang meriah.

Mengimbas kembali, album Semangat Zaman 1 yang diterbitkan pada 2004 menampilkan Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Muss, Rahmad Mega, Rahim Maarof dan Joey BPR.

Semangat Zaman 2 yang diterbitkan pada 2004 kekal dengan penyanyi sama, namun menampilkan ahli baharu iaitu Allahyarham Shamrin Fotograf dan Jatt Black Dog Bone.

Untuk edisi ketiga Semangat Zaman tahun ini, tempat Rahim yang berdepan masalah kesihatan kini digantikan Bandi.

Lapan legenda rock atas satu pentas dalam satu malam, pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan peminat.

Kesungguhan mereka memberikan mutu persembahan terbaik kepada peminat dapat disaksikan menerusi sesi latihan yang berlangsung di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah, baru-baru ini.

YANTZEN (kiri) dan Jatt ketika latihan.
YANTZEN (kiri) dan Jatt ketika latihan.

Mereka kelihatan begitu fokus berlatih bersama pemuzik pengiring yang diketuai Alfa Booty.

Ada antara mereka mengulangi latihan beberapa kali sehingga berpuas hati dengan keserasian yang tercipta dengan pemuzik iringan.

Mereka yang ditemui melahirkan perasaan teruja untuk menghiburkan peminat. Namun dalam masa sama mengharapkan kesihatan berada pada tahap terbaik.

Aris berkata, persiapan berjalan lancar kerana cabaran mengumpulkan lapan penyanyi bukan mudah.

"Saya akan menyampaikan sembilan lagu termasuk secara medley dan duet. Ia merangkumi lagu baharu berjudul 6K. Lagu lain ialah Korban Cinta, Cintamu Mekar Dihati (duet dengan Muss) dan Dari Sinar Mata (duet dengan Joey).

"Saya juga akan menyanyikan lagu Di Alam Fana Cinta nyanyian asal Shamrin dan Cinta Kristal Rahim Maarof. Menyanyi di Zepp sesuatu yang baharu dalam hidup saya.

"Tak pernah lagi saya buat persembahan pentas menampilkan lapan penyanyi bergabung. Sebelum ini hanya empat atau lima penyanyi. Kali ini berbeza kerana mereka seangkatan saya," katanya.

Yantzen dan Jatt juga teruja untuk beraksi dan mengharapkan peminat hadir beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka.

"Saya akan berduet dengan Yantzen dalam lagu Pelangi Hitam dan Nash menerusi lagu Pada Syurga Diwajahmu dan Diganggu Kenangan secara solo," kata Jatt.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 6:20 AM