LIZA Hanim dan Siti Nurhaliza. FOTO Arkib NSTP
LIZA Hanim dan Siti Nurhaliza. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Bukan sentap, bukan. Tetapi saya perlu bersuara."

Itu tulis penyanyi, Liza Hanim di Instagram mengenai komen netizen yang menggunakan nama akaun Instagram, @jab_netizen yang menulis komen berbaur hinaan terhadap bentuk fizikalnya.

Dalam hantaran itu, Liza berkongsi rasa syukurnya dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

"Kenapa, orang tak cantik memang tak boleh menang apa-apakah di Malaysia atau peringkat antarabangsa? Orang yang tak putih, hidung tak mancung memang tak bolehkah berjaya di Malaysia ini?

"Ya, betul akak sedar 'and' akak sangat bersyukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada akak. Selagi berbahagia bersama keluarga, akak tak kisahlah semua cantik buruk ke akak ini bagi 'standard' manusia.

"Allah kurniakan bakat untuk akak boleh menyanyi, tapi akak tak ada rupa paras yang mana semua mahukan putih, cantik, gebu, mancung semua itu. Tapi, akak tetap bersyukur.

"Tergamak nak bagi komen begini, berkali-kali pula. Kenapa? Motif?" tulisnya.

Menurut Liza, tahun ini sudah masuk 26 tahun dia menjadi penyanyi dan komen-komen sebegitu tidak akan mematahkan semangatnya.

"Kadang-kadang, bahasa kata itu lagi penting daripada rupa paras, tahu? Akak tak goyang dengan cacian, kutukan dan kritikan sesiapa, tapi, budaya sekarang agak melampau. Kadang-kadang, akak tertanya juga, rupa orang yang tulis ini macam manalah agaknya?

"Tahun ini adalah tahun ke-26 di dalam industri. Pelbagai (perkara) dah yang akak lalui dan hadapi. Jadi, benda kutukan secara halusmu ini tak goyangkan akak, dik. Tapi aku sedih, kau bersikap kurang ajar dan tak sensitif.

"Hantaran ini untuk semua yang pernah kena kutukan macam akak untuk kita bangkit. Terus kuat dan terus lakukan apa yang membuatkan kita bahagia, untuk diri kita dan keluarga kita.

"Dan kita kena terus bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurnianya. #akutakcantiktapiakubahagia," katanya.

Penyanyi yang terkait sama dalam komen netizen itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut tampil bersuara di ruangan komen dan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu di sebalik akaun Instagram itu.

"Tulisan daripada @jab_netizen jelas menunjukkan keperibadiannya yang tidak baik dan hati yang hitam. Jangan menyentuh soal fizikal, sebab semu orang tidak sempurna. Kesal dengan kelantangan netizen yang konon pandai menilai tapi sebenarnya menyerlahkan lagi kebodohannya.

"Kakak sayang, Liza Hanim, teruskanlah perjuangan kerana setiap pengorbanan dan kesungguhan, Allah SWT janjikan kejayaan!! Inilah masanya. Semoga Allah SWT permudahkan segalanya buatmu, kak!" tulisnya.

Hantaran Liza itu turut mendapat sokongan daripada beberapa artis lain antaranya, penyanyi veteran, Salamiah Hassan dan pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz.

"Kau nak pertikaikan ciptaan Allah! Bodoh ke apa? Pada saya, kamu cantik dan saya sayang kamu," tulis Salamiah.

"Kita semua istimewa dan cantik dengan cara kita sendiri. Yang penting, akak 'letop' semalam," tulis Azira.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 5:36 PM