ERMA tunjuk ajar Fathia yang memegang watak Merah.
ERMA tunjuk ajar Fathia yang memegang watak Merah.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Membariskan nama besar menjayakan pementasan bangsawan kontemporari Bawang Putih Bawang Merah arahan Erma Fatima, tentunya menjadi tekanan besar buat pelakon muda popular, Fathia Latiff dan Juliana Evans.

Cara ini nampaknya digunakan Erma sebagai tarikan kepada penonton terhadap pementasan terbarunya yang bakal dipentaskan selama enam hari di Istana Budaya bermula 3 Disember ini.

Selain dua pelakon komersial dan popular itu, Erma turut tampilkan Syarul Ridzwan dan Ungku Ismail serta turut ketengahkan pelakon terbaik seperti Beto Kusyairy dan Nabila Huda.

Menariknya buat pertama kali Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) memegang watak Mak Kundur bakal berganding dengan adiknya, Fazlina atau Baby.

Sementara Nabila Huda berganding dengan anak tunggalnya, Keisya memegang peranan sebagai nenek kebayan dan pari-pari.

Sewaktu ditemui ketika sesi latihan, kedua-dua artis jelita ini begitu positif dan sedikit pun tidak berasa kecil berada dalam kalangan nama besar dan terbaik.

Malah mereka menjadikan pementasan teater ini sebagai medan menguji bakat dan mahu mengutip ilmu sebanyak mungkin.

Kata Fathia, dia menerima tawaran membintangi Bawang Putih Bawang Merah kerana mahu menebus kegagalannya sewaktu membintangi teater tema sama, Bidasari.

“Saya sendiri berasa tidak puas hati sewaktu membintangi Bidasari. Begitupun waktu itu saya kosong dan memang asing dengan pentas teater.

“Kali ini situasinya sudah berbeza kerana apabila menerima tawaran untuk menjayakan pementasan Bawang Putih Bawang Merah, saya sudah ada sedikit ilmu untuk persiapan,” katanya.

Membawa watak Merah, Fathia akui ketika pementasan Bidasari lakonannya tidak mempunyai elemen yang diperlukan di pentas.

“Ketika itu saya sangat kekok tapi kini keadaannya berbeza. Apabila berlatih dengan Erma, dia banyak memberi motivasi dan mengajar saya lakonan teater yang bagus.

“Malah setiap sudut kesalahan yang saya lakukan turut diperbetulkan. Sebelum ini jarang ada orang yang mahu menegur saya sebegitu rupa,” katanya.

Kata Fathia, dia juga berani menerima tawaran ini kerana Erma Fatima turut mengarahkannya. Katanya, sebelum ini dia pernah bekerja dengan Erma tetapi tempohnya terlalu sekejap sewaktu menjayakan persembahan untuk majlis Anugerah Skrin.

“Dalam waktu yang sekejap itu pun, banyak perkara saya belajar dan orang keliling boleh nampak bagusnya saya sewaktu beraksi di pentas kerana rasa yakin hasil tunjuk ajar daripada Erma.

“Memang orang kata dia agak tegas dan memang saya kena marah juga, tapi pada saya ia untuk kebaikan. Dia mahu memberikan ilmu kepada saya. Kalau tidak bertegas mungkin ilmu itu tidak sampai.

“Memang niat saya paling utama membintangi Bawang Putih Bawang Merah mahu menimba ilmu sebanyak mungkin daripada Erma Fatima,” katanya.

Juliana menjelaskan, dia menerima tawaran berlakon Bawang Putih Bawang Merah kerana tidak mahu melepaskan peluang diberikan. Tambah pula sejak bergelar pelakon, dia tidak pernah melakukannya.

“Memang kalau hendak diikutkan, harapan tinggi diletakkan Erma pada saya untuk menjayakan watak Bawang Putih, tambah pula ia bukan teater moden atau drama biasa. Ia ada unsur klasik.

“Untuk menghidupkan situasi itu, pergerakan tubuh dan dialog penting. Pelakon akan mengutarakan dialog dalam bahasa Melayu lama. Untuk memenuhi perkara itu, memang memberikan sedikit tekanan.

“Tapi saya anggap sebagai satu proses pembelajaran. Paling penting, saya melakukan teater ini kerana mahu keluar daripada zon selesa sebagai pelakon dan mempelajari sesuatu yang baru,” katanya.

Nabila, Keisya kongsi pentas

Beraksi di pentas teater sudah biasa bagi Nabila Huda tetapi kali ini dirinya sangat teruja apabila dapat berganding dengan anaknya yang bakal memegang watak pari-pari.

Katanya, ini kali ketiga dia membuat persembahan. Pertama sewaktu menjayakan teater Tenggelamnya Kapal van der Wijck kemudian Erma memilihnya untuk bersama-sama menjayakan persembahan khas Mok Cun di Anugerah Skrin baru-baru ini dan sekarang Bawang Putih Bawang Merah.

“Pada mulanya agak terkejut juga apabila Erma meminta Keisya membintangi teater ini bersama. Tapi memikirkan dia juga memang mempunyai minat, jadi saya tidak keberatan untuk membenarkannya.

“Semua persembahan yang dilakukan pula waktu cuti sekolah. Dalam mengusik, saya katakan kepada Erma, mana boleh ambil Keisya berlakon bersama nanti habislah tumpuan penonton akan diberikan kepadanya sepenuhnya dan orang tak nak tengok watak nenek kebayan,” katanya.

Jelas Nabila, dia menerima tawaran menjayakan teater Bawang Putih Bawang Merah kerana mahu memenuhi permintaan Erma sendiri. Apatah lagi sebelum ini mereka pernah bekerjasama dalam teater Natrah.

Diarahkan bersama A Aris A Kadir yang turut bertindak sebagai koreografer, Erma yakin gandingan Jue dan Fathia sebagai Bawang Putih dan Bawang Merah memberi keterujaan kepada khalayak.

Katanya, pemilihan pelakon komersial bukan sahaja untuk memberi impak pelaris malah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mencabar dan membuktikan bakat lakonan masing-masing.

Ia mengisahkan Putih dan Merah tinggal bersama ibu mereka, Labu dan Kundur di Kampung Jelatek. Kundur tidak menyukai Labu, begitu juga Putih tidak menyukai Merah dan selalu cemburu dengan adiknya.

Ketika Labu sibuk membasuh kain di tepi perigi, Kundur datang dan menolak madunya itu hingga jatuh ke dalam perigi. Merah mencari ibunya yang tidak pulang-pulang dan bermimpi ibunya menjadi ikan kaloi.

Dia selalu pergi ke perigi itu dan bermain dengan ikan kaloi tapi Kundur menangkap ikan itu, memasaknya dan diberi kepada Merah untuk dimakan.

Apabila tahu itu ikan kaloi atau ibunya, Merah mengutip tulangnya dan menanamnya hingga tumbuh pohon beringin yang tinggi dan ada buaian.

Di situ Merah selalu bermain dan menyanyi. Suatu hari, Putera Raja terpesona dengan kemerduan suara gadis yang berdendang, lalu jatuh cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:01 AM