DAFI beraksi dalam teater muzikal Mak Cun bermula Sabtu ini sehingga 22 November depan di Istana Budaya.
DAFI beraksi dalam teater muzikal Mak Cun bermula Sabtu ini sehingga 22 November depan di Istana Budaya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Beberapa bulan lalu, penyanyi dan pelakon, Dafi, 27, terbabit dengan pementasan Maduku Kalut Returns.

Siapa sangka keberkesanan lakonan Dafi yang membawakan watak lelaki lembut bernama Amy Amiro mendapat perhatian pengarah, penerbit dan pelakon tersohor, Erma Fatima seterusnya menawarkannya beraksi dalam teater muzikal Mak Cun.

“Saya suka berlakon teater sebab lebih puas berbanding filem, drama mahupun telefilem. Apabila menjayakan pementasan teater, kita menggunakan seluruh tenaga yang ada.

“Daripada situ, penonton boleh terus memberikan maklum balas. Sama ada dilambung pujian atau sebaliknya, ia dapat membantu pelakon memperbaiki kelemahan diri,” katanya.

Menerusi teater Mak Cun Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri sekali lagi melakonkan watak lelaki lembut bernama Meor.

“Walaupun watak lebih kurang sama dengan teater sebelumnya, karakter Meor tak seaktif Amy Amiro. Dia biasa sahaja.

“Saya anggap ia satu lagi pengalaman baru. Apatah lagi bekerja dengan Kak Erma yang semua orang tahu bukan calang-calang bakatnya. Saya sangat hargai dan teruja apabila terpilih,” katanya.

Menurut Dafi, pada awalnya dia takut menerima tawaran Erma berikutan segelintir pihak mengatakan kakak kepada Datin Seri Umie Aida itu seorang yang garang ketika bekerja.

“Apabila diyakinkan rakan, saya memberanikan diri menerima tawaran ini. Ketika mengikuti sesi latihan, ternyata apa yang saya dengar selama ini tidak benar.

“Cara Kak Erma lebih kepada mengajar dan memperbetulkan apa yang kurang. Daripada situ saya sedar setiap teguran berasas dan ada benarnya. Pendek kata, saya belajar banyak perkara daripadanya,” katanya.

Sama seperti pelakon lain, Dafi juga perlu menari dalam beberapa babak.

“Kali terakhir saya menari dalam teater Kenangan Mengusik Jiwa 60-an Dreamgils beberapa tahun lalu.

“Manakala sewaktu menjayakan teater Maduku Kalut Returns pula, ia bukannya muzikal sebaliknya lebih kepada lakonan. Jadi kenalah belajar menari semula,” katanya.

Mak Cun mula dipentaskan pada Sabtu ini sehingga 22 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selain Dafi, teater yang diadaptasi daripada drama bersiri Mak Cun ini turut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Erma Fatima, Balkish Semundur Khan, Nora Danish, Datin Sri Umie Aida, Ungku Ismail, Ogy Datuk Ahmad Daud, Datuk Rahim Razali dan Betty Rahmad.

Dafi mengakui bertuah dapat menjadi sebahagian daripada produksi terbabit.

“Macam saya katakan tadi, bukan saja Kak Erma, tetapi pelakon senior lain juga sangat membantu.

“Mereka tidak lokek ilmu. Berada dalam pasukan ini sangat menyeronokkan. Tidak ada istilah orang baru tak boleh bergaul dengan bintang senior,” katanya.

Mengulas karier nyanyian, bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima ini bakal tampil dengan single terbaru berjudul Sempurna.

“Lagu ciptaan Akid ini siap dirakam bulan lepas. Masih mengekalkan rentak balada, saya harap lagu ini dapat diterima baik peminat.

“Lagu ini punya keunikan tersendiri, saya yakin ia boleh pergi jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 11:17 AM