AKAN terus beraksi sebagai pelakon selagi hayat dikandung badan.
AKAN terus beraksi sebagai pelakon selagi hayat dikandung badan.
Syafil Syazwan Jefri


KEANGGUNAN di pentas, keberanian di layar dan bakat yang tiada tandingan - Nabila Huda terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pelakon utama dalam dunia hiburan Malaysia, menembusi batasan usia dengan kemahiran lakonannya.

Pada usia 39 tahun, dia masih menjadi pilihan utama pengarah untuk menghidupkan watak-watak penting dalam pelbagai genre filem dan drama, membuktikan bahawa pesona dan kebolehan sejati tidak terhad kepada angka, bahkan menjadi medan untuknya mencuba sesuatu yang baru.

"Masih ditawarkan memegang watak utama sehingga saat ini, mungkin sebab wajah saya tak selalu atau terlalu kerap muncul.

"Saya rancang kerjaya supaya tak nampak terlalu kerap atau 'back to back'. Memang dari dulu lagi, saya buat hal saya saja dan teruskan kehidupan. Saya cuma buat benda yang menggembirakan hati saya.

"Saya juga seimbangkan antara kerjaya dan kehidupan dan tak pernah rasa 'insecure'. Saya jujur dalam apa yang saya lakukan dan fokus utama saya adalah lakonan. Kalau anda lihat, saya tak selingkuh kepada dunia lakonan," katanya.

Membuka cerita dan melontar pengalamannya sejak 25 tahun lalu sebagai pelakon, Nabila meluahkan rasa cintanya kepada bidang seni yang kini menjadi darah dagingnya.

"Bagaimana 25 tahun lalu sehinggalah ke hari ini saya tak pernah berubah. Selingkuh dalam erti kata lain adalah mungkin mencuba menjadi pengarah, penerbit, usahawan atau apa saja yang lari dari lakonan.

"Saya tak ikut cara orang di luar sana, tetapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada dan ikut cara saya.

"Kalau anda tanya mengenai bila saya akan bersara dari dunia lakonan, tiada istilah bersara dalam diri saya. Saya akan teruskan perjalanan saya sebagai pelakon selagi hayat dikandung badan," katanya.

Terbaru, filem lakonannya berjudul Budak Flat kini ditayangkan di platform penstriman digital Prime Video. Selain Nabila, ia membariskan barisan pelakon hebat antaranya Zahiril Adzim, Pablo Amirul dan ramai lagi,

Nabila menyifatkan karya arahan Faisal Ishak, Eugene Lim dan Ming Jin Woo itu sebagai karya luar biasa.

"Anda akan dapat merasakan bertapa hebatnya filem ini kerana semua pelakon membawakan watak masing-masing dengan sepenuh hati.

"Tak mudah untuk seorang pelakon wanita dalam usia saya, nampak 'muda' bagi menjayakan watak Jojo dalam Budak Flat ini.

"Selalunya, watak-watak yang sering saya mainkan adalah sebagai ibu dan berat belaka. Namun, watak kali ini nampak seperti muda-mudi yang hidup di jalanan.

"Secara tak langsung, boleh saya katakan bahawa watak ini membawa sisi berbeza saya. Pada masa sama, saya juga buktikan bahawa walaupun sudah berusia, saya masih boleh pelbagaikan watak," katanya.

Menurutnya, jalan cerita serta gandingannya dalam filem ini juga memainkan peranan untuk dia menyahut tawaran bagi berlakon dalam filem ini.

"Saya terima tawaran ini kerana saya sudah lama tak berlakon dalam filem bercorak sebegini. Ia mengisahkan mengenai kehidupan di flat dan boleh saya katakan sebagai realistik.

"Apabila saya tanya kepada pengarah, siapakah pelakon yang akan bergandingan dengan saya, dia cakap ada Zahiril Adzim dan Pablo Amirul. Jadi, ini akan menjadi satu pengalaman berbeza buat saya dan rasanya, saya harus terima," katanya.

Menurut Nabila, filem ini juga boleh berdiri sebaris dengan filem-filem antarabangsa kerana visual dan jiwanya yang berbeza daripada kebiasaan.

"Hasil akhirnya memang benar-benar membuatkan saya terkejut. Wow! Itu adalah gambaran perasaan saya ketika menonton hasil akhir yang ditayangkan.

"Saya dah banyak berlakon dan pernah menonton naskhah sebegini. Namun, visual dan jiwa yang dipaparkan dalam kali ini benar-benar berbeza serta boleh disifatkan sebagai satu filem bertaraf antarabangsa.

"Tiada lagu-lagu yang merepek diselitkan dalam perjalanan ceritanya. 'Vibe' yang dapat dirasakan menerusi karya ini memang sangat menarik.

"Bukan saja pelakon-pelakon yang tahu dan faham akan watak yang mereka mainkan, tetapi juga mereka yang bekerja keras di belakang tabir turut membawa tenaga positif sekali gus bersatu bagi mewujudkan naskhah hebat ini," katanya.

Terbaru, Nabila kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Lelaki Itu dan bakal ke Singapura selama tiga bulan tahun depan.

"Ia diterbitkan oleh Erma Fatima. Dah lama juga saya tak berlakon dalam drama bersiri. Insya-Allah, penggambaran akan selesai pada Januari depan. Kemudian, selepas itu saya akan sambung kerja dengan menjalani penggambaran satu drama bersiri pendek. Kali ini wataknya berbeza berbanding kebiasaan.

"Pada Mac tahun depan, saya akan ke Singapura dan berada di sana selama tiga bulan. Ini adalah untuk menjayakan pementasan teater berjudul Bawang Putih Bawang Merah yang akan mengambil lokasi Esplanade.

"Untuk pementasan teater ini, hanya saya seorang saja pelakon dari Malaysia. Saya sebenarnya ingin mencuba pengalaman baharu walaupun saya belum tahu watak apa yang akan saya pegang untuk pementasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 6:00 AM