Kumpulan InTeam
Kumpulan InTeam
Ramlah Zainal


Shah Alam: Kumpulan Inteam menyarankan supaya kerajaan mengadakan garis panduan, kuota dan sebagainya untuk mengawal lambakan konsert artis antarabangsa di negara ini.

Menurut anggota kumpulan nasyid Inteam, Muhammad Hazamin Harun, kawalan itu perlu bagi mengelakkan konsert artis tempatan dipinggirkan oleh orang ramai.

"Selepas pandemik Covid-19, saya melihat, ramai penganjur berlumba-lumba untuk buat konsert dan ia juga mendapat sambutan dari orang ramai.

"Bukan sahaja konsert dari artis pop, konsert genre islamik juga. Namun, sampai satu masa nanti, ia akan jadi 'overload' atau tepu," katanya kepada Harian Metro.

Kata Hazamin lagi, dia juga melihat tiket artis antarabangsa juga jauh lebih tinggi dari artis tempatan sehingga mencecah RM2,000 hingga RM3,000 dan apa yang mengejutkan tiket mereka tetap 'sold out'.

"Justeru, saya juga bimbang, bila orang ramai sudah berhabis duit beli tiket artis luar yang harganya lebih tinggi, mereka sudah tidak ada bajet untuk beli tiket konsert artis tempatan pula," katanya.

Bagaimanapun, kata Hazamin, dia tidak menafikan penganjuran konsert artis antarabangsa ke negara ini juga baik dari aspek pelancongan dan sebagainya.

"Saya tidak membantah konsert artis luar ke negara kerana ia juga pilihan masyarakat cuma perlu ada kawalan dari kerajaan untuk seimbangkan konsert artis luar dan anak tempatan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023 di sini, baru-baru ini.

Mengulas Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023 pula, Hazamin berkata, pihaknya tidak mahu melepaskan peluang untuk terbabit dalam program berkenaan.

"Ia juga kali pertama kami menjayakan program selawat seperti ini yang juga lebih kepada qasidah, selawat dan puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW.

"Namun, kami juga bercadang untuk sampaikan beberapa lagu popular Inteam untuk peminat di sana nanti," katanya.

Tambah Hazamin, kumpulan Inteam akan terbabit pada acara malam kedua pada 3 Jun iaitu Malam Berselawat dan Qasidah Perdana di lokasi di Dataran Serambi, Teruntum, Kuantan jam 9 malam.

"Ia juga membabitkan penampilan khas Habib Nael Bentaher, Habib Mahdi Alhamdi dan Sheikh Mahmoud Wasobi.

"Selain menikmati pelbagai jenis makanan di festival ini, orang ramai juga dapat ilmu dan 'makanan' rohani," katanya.

Havoc Street Food Festival 2023 akan berlangsung dari 1 hingga 5 Jun Dataran Serambi Teruntum Kuantan, Pahang mulai jam 10 pagi hingga 12 tengah malam. Selain Kuantan, ia akan diteruskan di beberapa lokasi dijadualkan termasuk Kedah, Terengganu, Melaka, Johor dan Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 1:32 PM