Perkongsian Watie di media sosial
Perkongsian Watie di media sosial

Kuala Lumpur: Usahawan juga isteri pelawak Shuib, Watie Hanifah, 35, enggan menggunakan sebaliknya mahu bingkaikan duit raya pertama pemberian suaminya yang berjumlah RM5,000.

Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkata dia inginkan pemberian itu membawa nilai istimewa dan menjadikannya sebuah khazanah.

"Mari kita tengok, dalam ini ada lima sampul. Saya ingatkan duit raya sama macam orang, rupanya lain. Maknanya itulah martabat isteri tercinta.

"Pertama kali beraya bersama suami, dapat duit raya. Ini akan saya jadikan khazanah. Saya takkan guna, saya akan simpan ini sampai bila-bila.

"Sampul yang pertama RM1000, sangat teruja! Saya akan simpan sampai anak cucu cicit," katanya.

Menerusi perkongsian itu juga, Watie dilihat teruja membuka lima keping sampul yang mengandungi sebanyak RM1,000 pada setiap satu.

Watie juga sempat menitipkan doa agar Shuib akan terus dilimpahi rezeki dalam hidup.

"Terima kasih Daddy. Semoga Allah keluarkan duit-duit di muka bumi ini untuk diberikan kepada Daddy. Semoga Daddy dilimpahkan rezeki walaupun beg Daddy nampak gayanya dah kosong," katanya.

Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023. Ia perkahwinan kedua Shuib selepas isterinya juga penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Perkahwinannya dengan Sarah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan, 3 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 11:32 AM