ADZLIANA bersama dua rakan strategik yang juga ikon Usanita, Datuk Rosyam Nor dan Awal Ashaari.
ADZLIANA bersama dua rakan strategik yang juga ikon Usanita, Datuk Rosyam Nor dan Awal Ashaari.
Syafil Syazwan Jefri


ENTITI pemudah cara bagi golongan usahawan, Usanita Sdn Bhd kini bergerak lebih maju ke hadapan dan bekerjasama dengan stesen radio di bawah Media Prima Audio (MPA), Buletin FM sekali gus bakal hadir dengan program Masterclass Buletin FM.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan ketika ditemui baru-baru ini berkongsi keterujaannya untuk terus membantu golongan usahawan menerusi kerjasama dengan Buletin FM.

"Alhamdulillah, tahun ini cukup bermakna buat Usanita kerana terpilih untuk mengelola program usahawan yang tak asing lagi iaitu Masterclass Buletin FM.

"Penggambaran program itu dijangka bermula pada Jun dan akan menyaksikan format baharu mengikut acuan Usanita Sdn Bhd," katanya.

Menurutnya, program kali ini akan menyajikan pelbagai cabaran baharu untuk menguji kemampuan peserta yang terdiri daripada usahawan-usahawan tempatan.

"Kali ini, cabarannya akan lebih memberi tumpuan kepada sesuatu bidang dalam keusahawanan contohnya, cabaran pemasaran secara fizikal atau pembungkusan penjenamaan produk.

"Dalam program kali ini juga, akan ada beberapa cabaran yang akan diperkenalkan antaranya, cabaran di lapangan sendiri untuk menguji kemampuan peserta," katanya.

Berkongsi mengenai keputusan untuk bekerjasama dengan Buletin FM, Adzliana berkata, Buletin FM menjadi penanda aras sebagai stesen radio yang menyajikan program serta kandungan profesional.

"Usanita memilih Buletin FM sebagai rakan strategik kerana kredibiliti stesen radio ini dalam menyampaikan maklumat kepada usahawan di seluruh negara.

"Melihat kepada intipati Buletin FM juga yang banyak menyiarkan pelbagai rancangan berbentuk profesional, ia menjadi faktor penarik untuk mendedahkan mengenai Usanita kepada orang ramai terutamanya golongan usahawan.

"Saya juga berharap agar kerjasama ini dapat membuka pintu yang lebih luar, bukan saja dengan Buletin FM, tetapi juga Media Prima Berhad untuk bersama Usanita dalam membangunkan modal insan masyarakat Malaysia Madani," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Buletin FM, Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, pihaknya akan terus menyokong usaha untuk mencungkil kemampuan anggota masyarakat dalam bidang perniagaan.

"Pelbagai inisiatif sudah dilakukan oleh Buletin FM dalam pelbagai sudut terutamanya dalam usaha menyokong industri keusahawanan.

"Inisiatif ini bukan saja untuk mengekalkannya sebagai saluran penyiaran berwibawa, tetapi juga memberi manfaat kepada pendengar terutamanya, mereka yang mempunyai aspirasi untuk menceburi dunia perniagaan.

"Program-program yang kami tampilkan menerusi kerjasama ini direka khas untuk menepati misi Usanita, bagi menyediakan peluang modal insan berkualiti," katanya.

Pemenang untuk program Masterclass Buletin FM bakal berpeluang membawa pulang dana perniagaan berjumlah hampir RM50,000.

Sesi Masterclass ini akan dibawakan secara langsung menerusi Facebook Buletin FM dan aplikasi Audio+, menampilkan tetamu dari Usanita dan ikon usahawan yang bakal memberi perkongsian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:30 AM