DARI kiri  Aini, Adzliana  dan Azlina  pada majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara Usanita Sdn Bhd dan UKM. - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH
DARI kiri Aini, Adzliana dan Azlina pada majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara Usanita Sdn Bhd dan UKM. - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH

INISIATIF kerjasama antara Usanita Sdn Bhd dengan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta e-Entrepreneurs Women Association Malaysia (Ewa) dijangka memberi manfaat kira-kira 3,000 usahawan memajukan diri serta perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan berkata, kerjasama itu dapat meningkatkan kredibiliti Usanita dalam memperkasa wanita di era pendigitalan di samping membantu membangunkan modal insan usahawan.

Katanya, Usanita adalah entiti pemudahcara bagi golongan usahawan terutama dalam kalangan B40 yang perlu dibantu, yang mana pihaknya berperanan menghubungkan usahawan kepada agensi atau badan berkaitan di bawah kementerian dan badan korporat.

"Setakat ini, kira-kira 1,200 usahawan yang bukan saja terdiri daripada wanita, malah lelaki sudah menerima manfaat melalui semua program keusahawanan yang dilaksanakan Usanita bersama rakan strategik lain.

"Melalui kerjasama dengan FEP UKM dan Ewa serta rakan strategik lain, kami jangkakan lebih 3,000 usahawan akan menerima manfaat serta dibimbing bagi memperkasa ekonomi mereka," katanya selepas majlis menandatangani surat hasrat (LOI) antara Usanita dan UKM di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM merangkap Presiden Ewa, Prof Dr Aini Aman serta Setiausaha Ewa Malaysia, Dr Azlina Asaari.

Adzliana berkata, selepas negara memasuki fasa endemik Covid-19, pihaknya melihat ramai individu yang mahu memulakan perniagaan mereka sendiri.

"Bagaimanapun, usahawan baharu ini masih kurang pendedahan mengenai ilmu perniagaan dan mereka sukar untuk mengembangkan perniagaan.

"Oleh itu, Usanita melihat ia sebagai tanggungjawab untuk memberi bimbingan serta sokongan dengan pelbagai pihak dan melalui kerjasama ini nanti, kami merangka program strategik yang dapat membantu usahawan berdaftar di bawah perintis usanita serta Ewa memajukan perniagaan," katanya.

Sementara itu, Aini berkata, kerjasama terbabit boleh menjadi platform sangat baik khususnya kepada pelajar bidang keusahawanan di mana dapat meningkatkan lagi impak dan nilai program keusahawanan yang ditawarkan UKM, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara bagi mencapai aspirasi menjadi negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 9:42 PM