Nabil Aqil
Nabil Aqil
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Nabil Aqil, 25, sanggup melakonkan watak 'lelaki songsang', namun tidak bersedia membotakkan kepala untuk tawaran lakonan dan akan memikirkannya terlebih dahulu sebelum buat keputusan.

Nabil atau nama sebenarnya Muhammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin berkata, dia tidak kisah muncul dengan watak yang memburukkan wajahnya, tetapi enggan mengorbankan rambut tanpa berfikir panjang demi tuntutan watak.

"Kalau kena burukkan diri, saya okay saja. Tapi, kalau nak botak kepala itu, memang kena fikir panjang sebelum buat keputusan. Kalau botak secara mekap atau guna 'props', okaylah. Cuma, kalau betul-betul nak kena botak, saya akan fikir dulu.

"Bukan tak boleh nak botakkan kepala dan korbankan rambut, tapi saya kena tengok skrip macam mana dulu, jalan cerita dan sebagainya, baru saya boleh setuju. Termasuk, bayaran sekali," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nabil ditemui di lokasi penggambaran drama, Hawt Fellas lakonannya yang diarahkan Eoon Shuhaini dan terbitan Country & Universal Sdn Bhd di DxN Cyberville, baru-baru ini.

Selain Nabil, drama untuk slot Lestary TV3 itu dibintangi pelakon lain seperti Idan Aedan, Atiq Azman, Raden Zaharatul, Tisya Ong, Izzul Faiq, Khaled, Amy Nur Tinie dan ramai lagi.

Ditanya mengenai kelas lakonan, Nabil berkata, dia pernah sekali mengikuti kelas (lakonan) selama dua hari yang dibimbing oleh pelakon Zul Huzaimy. 

Katanya, dia bagaimanapun banyak belajar berlakon dan cara menjiwai watak dengan menonton filem dan drama.

"Saya ada tiga watak impian yang ingin cuba dilakonkan kalau berpeluang iaitu watak lelaki songsang, watak depresi (kemurungan) dan watak gangster," katanya.

Nabil yang juga anak saudara pelakon Syafiq Kyle mula aktif berlakon sejak 2017 lalu, selepas menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun itu. Katanya, rezeki dia dikenali peminat hanya mula diperoleh sekarang.

Enam tahun berusaha membina nama dan ketengahkan bakat seninya, Nabil akan terus mengejar apa yang diimpikan sehingga jadi kenyataan walaupun harus bersaing sengit dengan pelakon lain.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 12:11 PM