TALHA ubah penampilan demi menjayakan watak Zafran.
TALHA ubah penampilan demi menjayakan watak Zafran.
Sudirman Mohd Tahir


Nama Talha Harith bukan baru dalam bidang lakonan dan banyak drama popular yang dilakonkannya.

Namun, disebabkan penampilannya yang berisi dan berkepala botak dalam drama I Promise, Janji Anaqi, ramai menyangka dia adalah pelakon baharu.

Apatah lagi dia yang melakonkan watak Zafran, seorang kaki pukul dan suami dayus menjadi perhatian dan bualan penonton menerusi drama yang yang ditayangkan di saluran Astro Ria itu.

"Saya ada saja dalam industri dan masih sibuk dengan penggambaran. Mungkin kerana ini pertama kali botak dan naikkan berat badan. Syukur dapat naikkan sebab kalau kurus macam dulu, tak kena untuk watak ini.

"Saya memang naikkan berat badan untuk watak ini untuk kelainan. Sebelum ini saya muncul dalam drama Curi-Curi Cinta dengan watak berbeza. Ini adalah perubahan 360 darjah. Saya naikkan berat dari 64 kilogram (kg) ke 68 kg. Sekejap saja naikkan sebab badan senang naik, senang turun. Saya lakukan dalam masa seminggu saja," katanya.

Apa yang menarik, watak dilakonkan itu memberi kesan pada penonton.

Menurut Talha, dia sudah lama tidak melakonkan watak sebegitu.

Dalam masa sama, Talha juga bersedia menerima kecaman daripada penonton terhadap watak itu.

"Saya melakonkan watak Zafran iaitu suami kepada Hayla lakonan Emma Maembong. Dulu baik dengan Hayla dan dijodohkan kerana keluarga. Dia kemudian menjadi panas baran apabila berasa Hayla berubah. Dulu sekepala tetapi Hayla sudah taubat. Dari situ membuatkan Zafran untuk menjadi kaki pukul dan rasa Hayla mencabar dirinya. Semua ini menjadikan dia lebih agresif. Puncanya sebab provokasi daripada watak Hayla, Anaqi, Julia dan Aishah.

TALHA Harith enggan ambil pusing, bersedia dengan tohmahan terhadap watak sebagai Zafran.
TALHA Harith enggan ambil pusing, bersedia dengan tohmahan terhadap watak sebagai Zafran.

"Diakui sudah lama tak bawa watak begini. Selalu watak baik saja. Soal dikecam saya sudah biasa kena. Dulu sudah pernah dikecam malah pernah kena hempuk dengan seorang makcik menggunakan tas tangan. Sekarang kena marah dikatakan 'kurang ajar punya botak'," katanya.

Ditanya adakah dia bersedia untuk melakonkan watak sama lagi pada masa akan datang, Talha berkata, dia terbuka.

"Kalau ada tawaran lagi untuk watak sebegini, saya okay sahaja. Saya bersyukur sebab dalam drama ini kita boleh berbincang supaya tak klise. Kita bawa kelainan untuk setiap adegan agar nampak lebih menarik. Kita menjaga keselamatan dari segi pelakon dan teknikal," katanya.

Sepanjang penggambaran 28 episod drama arahan Hadith Omar itu, Talha berkongsi dia turut mengalami kecederaan dan lebam di badan.

"Untuk adegan sudah dibuat, saya perlu tergolek di tangga dan bergaduh. Jadi memang ada mengalami kecederaan dan lebam. Ambil masa seminggu nak hilang tetapi perkara itu 'best'. Apabila drama ini menampilkan pelakon yang menarik, lakonan bagus semua menjadi seronok. Mereka mula-mula ingat saya tak boleh berlawan," katanya.

Ditanya mengenai isu penderaan domestik dalam drama ini, Talha mempunyai pendapat dan nasihat tersendiri.

"Sebagai contoh adalah watak Zafran. Awalnya dia elok dengan Hayla kemudian lama-lama nampak warna sebenar dan kenaikan perangai dia sehingga membunuh. Lakonan ini sebagai contoh bukan untuk orang buli atau dera tetapi ambil supaya sedar dan contoh supaya jangan ikut kerana akan ada akibatnya. Apa akan terjadi dengan Zafran? Kena tonton drama ini. Setiap perbuatan ada kesinambungan dan akibatnya," katanya.

Drama terbitan Juita Viden ini ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam.

Selain Talha, drama ini menampilkan pelakon utama Sharnaaz Ahmad dan Emma Maembong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:41 AM