Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


MESKIPUN sudah 13 tahun hidup bersama, namun selama mana suratan jodoh pasangan suami isteri itu kekal bertahan, hanya takdir Allah saja yang menentukannya.

Justeru, reda dengan takdir yang sudah tertulis membuatkan pengarah, penerbit dan pelakon, Aziz M Osman, 60, pasrah dengan perceraian kali keempat bersama bekas isteri, Puteri Lily Lokman, 32, pada awal Julai lalu.

Aziz ditemui berkata, dia kini melalui kehidupannya seperti biasa dengan tenang, termasuk masih sibuk dalam karier seni. Ujarnya, apa yang berlaku sudah pun terjadi dan tidak perlu dikesali kecuali 'move on'.

"Alhamdulillah, selama lebih sebulan ini (selepas bercerai) saya okay saja dan gembira. Banyak urusan lain perlu saya fikirkan dan Allah Maha Tahu. Ini suratan takdir hidup saya, maka jalanilah ia dengan sebaik mungkin.

"Hubungan saya dengan Puteri Lily juga masih baik dan rapat demi dua anak kami yang kini dalam proses membesar. Bahkan, bekas isteri juga tetap bertindak menguruskan lagi kerjaya seni saya.

"Syukur, dia masih mahu bantu uruskan saya sampai sekarang. Malah, menerusi produksi yang kami tubuhkan bersama, Puteri Lily turut bertindak sebagai penerbit. Cuma, jodoh kami yang berubah haluan masing-masing.

"Sebenarnya, kami berdua juga ketika ini dalam proses menyelenggara cerita baharu berjudul, Pendekar Mata Tiga Lawan Enam Celaka yang menjadikan Puteri Lily sebagai penerbit," katanya.

Menurut bapa sembilan cahaya mata hasil daripada tiga perkahwinan ini, dia pula bertindak selesa di posisi biasanya sebagai pengarah dan penulis skrip.

"Urusan kerja saya setakat ini lancar. Alhamdulillah, saya juga berjaya menyiapkan satu naskhah skrip komedi. Maksudnya, minda saya tenang dan Allah mudahkan dalam mengharungi sisa hidup ini.

"Walaupun ada orang kata bila berlaku konflik atau tragedi dalam kehidupan, kita akan serabut, tapi untuk kes saya sebaliknya. Saya berjaya siapkan skrip dan ia sangat ironi," katanya.

Aziz dan Puteri Lily bernikah pada 6 Jun 2010. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Puteri Nur Azzahra,12, dan Putera Muhamad Aryan kini berusia lima tahun.

Selain Puteri Lily, pengarah filem XX Ray dan Senario The Movie ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penerbit dan pelakon, Datin Nor Aliah Lee pada Januari 1992. Mereka dikurniakan enam cahaya mata dan sah bercerai pada 2007.

Terdahulu, Aziz ditemui ketika hadir pada majlis sidang media menandatangani memorandum perjanjian antara Metrowealth International Group (MIG) dan Meatech Creative Academy (Meatech) di Wisma Metrowealth, baru-baru ini.

Mengulas sijil pengiktirafan diperolehnya daripada Meatech itu, Aziz berkata dia berasa puas kerana segala susah-payah dalam pelajaran sebelum ini sudah 'dibayar' dengan menerima sijil berkenaan.

"Saya mengikuti jurusan pengarahan dan ambil masa beberapa tahun juga untuk selesaikannya. Apatah lagi, saya ada kerja hakiki sebagai penggiat seni dan melanjutkan pengajian secara aktiviti sampingan," katanya.

Aziz berkata, dia melihat usia juga bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu. Katanya, pastikan ada minat dan insya Allah, semangat belajar itu akan ada. Apapun, jangan sia-siakan peluang belajar yang datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 1:03 PM
AHMAD Faizal (tengah) menerima borang permohonan keahlian  Bersatu daripada Prof Dr Richard Ng pada Majlis Ramah Mesra dan Kemasukan Ahli Baru Bersatu Perak di Perkarangan Pejabat Bersatu Perak. FOTO L Manimaran
AHMAD Faizal (tengah) menerima borang permohonan keahlian Bersatu daripada Prof Dr Richard Ng pada Majlis Ramah Mesra dan Kemasukan Ahli Baru Bersatu Perak di Perkarangan Pejabat Bersatu Perak. FOTO L Manimaran