GUNA kepakaran anak tempatan dalam XX-Ray III.
GUNA kepakaran anak tempatan dalam XX-Ray III.
Oleh Ramlah Zainal


Kali terakhir penerbit dan pengarah terkenal Aziz M Osman, 53, menghasilkan filem ialah menerusi Azura 2012.

Entah di mana silapnya filem menampilkan gandi­ngan Neelofa dan Shah Jaszle itu tidak mendapat sambutan.

Aziz kemudian memutuskan untuk berehat seketika dan memberi tumpuan kepada keluarga.

Kini, Aziz kembali untuk mengubat kerinduan peminat dengan karya terbarunya iaitu filem sains fiksyen XX-Ray III iaitu sekuel kepada XX-Ray II yang dihasilkan pada 1995 dan XX-Ray pada 1992.

“Sebenarnya selepas XX-Ray II, saya sudah diminta untuk menghasilkan sekuel terbaru. Namun, saya tidak mahu terburu-buru kerana banyak aspek perlu diberi perhatian untuk memberi sentuhan terbaik pada filem itu.

“Malah, saya mengambil tempoh selama 20 tahun untuk menulis skrip sekuel terbaru filem itu. Sebagai pengarah, saya ingin memastikan plot dan jalan cerita ditampilkan segar dan tidak ketinggalan zaman.

“Selepas dua siri XX-Ray, akhirnya saya sudah dapat formula terbaik untuk memastikan XX-Ray III lebih segar dan ada kelainan,” katanya.

Pada masa sama, Aziz yakin dengan kepakaran anak tempatan termasuk dalam penggunaan teknik Imej Janaan Komputer (CGI).

“Walaupun ada CGI, saya tetap mementingkan jalan cerita. Sehebat manapun CGI ia perlu seiringan dengan jalan cerita yang kuat,” katanya.

Serik dengan pelakon berlagak ‘diva’

Ditanya mengenai pelakon, Aziz berkata, dia tidak mahu bekerjasama dengan pelakon yang berlagak diva yang akan menyusahkannya dan kru produksi di lokasi penggambaran.

“Saya tidak mahu ambil pelakon yang hanya datang ke lokasi pada jam 10 pagi sedangkan ‘call time’ ditetapkan pada jam 6.30 pagi. Persediaan awal penting kerana pelakon perlu memahami skrip dan berlatih sebelum penggambaran.

“Sebab itu saya lebih suka memilih pelakon baru kerana mereka lebih mudah digilap dan dapat memberi komitmen hingga penggambaran selesai. Saya pernah berkerja dengan pelakon berlagak ‘diva’ sebelum ini. Selain menimbulkan masalah ketika penggambaran, bayaran yang diminta juga terlalu tinggi.

“Namun, saya perlu pastikan pelakon baru yang dipilih itu tetap mampu menarik penonton ke pawagam kelak. Antara pelakon muda yang saya lihat cukup berbakat dan boleh diketengahkan ialah Hairul Azreen.

“Buat masa ini, saya belum putuskan barisan pelakon yang akan beraksi dalam sekuel XX-Ray III kerana ia masih dalam proses praproduksi lagi, “ katanya.

Sebelum ini, Aziz sempat menerbitkan filem berkosep­kan paranormal berjudul Jengka arahan Ramdan Che Hassan dan Nyon Othman yang ditayangkan pada 26 Mac lalu.

Ia menampilkan pelakon seperti Riezman Khuzaimi, Ramona Zamzam, Afida Es, Raja Azrey, Eyka Farhana, Jobot dan Sahiddin.

Kongsi ilmu dalam bidang lakonan

Kehebatan Aziz sebagai pengarah berkaliber dan kreatif sudah terbukti menerusi filem box-office seperti Fenomena, Fantasia, XX Ray, Puteri Impian dan Senario Lagi.

Justeru, sampai tiba masanya pengarah hebat era 1990-an ini berkongsi ilmu dan pengalamannya kepada generasi muda.

Aziz tidak bersendirian sebaliknya bergabung de­ngan pelakon senior, Azhar Sulaiman dan guru vokal terkenal, Siti Hajar untuk menjayakan Bengkel Lakonan Asas Satu, Sumber Inspirasi anjuran 2606 Skyline Pictures yang akan berlangsung pada 29 Ogos ini.

“Saya pernah menganjurkan bengkel pengarahan dengan kerjasama FINAS sebelum ini. Saya juga yakin masih relevan untuk menganjurkan bengkel seperti ini kerana ia juga mendapat sambutan hangat daripada peserta di FINAS ketika itu.

“Berbanding dulu karier lakonan kini sudah menjadi medium untuk menyara hidup. Jika dulu berlakon sekadar hobi dan kini tidak lagi. Justeru, bengkel ini untuk menghasilkan pelakon yang benar-benar sudah bersedia ke lokasi penggambaran. Pada masa sama, kita akan menyediakan seseorang pelakon dari segi mental dan fizikal untuk mendapatkan sesuatu watak dalam lakonan.

“Selain itu, misi beng­kel ini juga untuk menggilap pelakon serius sekali gus bersaing secara positif dengan barisan pelakon yang mewarnai persada hiburan tempatan ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 1:14 PM