SHAFIQA mahu terus menyokong kumpulan Search yang sudah sebati dalam hidupnya.  FOTO Fatin Farhana Ariffin
SHAFIQA mahu terus menyokong kumpulan Search yang sudah sebati dalam hidupnya. FOTO Fatin Farhana Ariffin
Fatin Farhana Ariffin


Kuala Lumpur: Berpeluang menyaksikan dua konsert kumpulan rock legenda diasaskan arwah ayah, Shafiqa Nurlis Yazit, 33, berbesar hati dapat memberi sokongan kepada rakan seperjuangan bapanya itu.

Bermula dengan Konsert Endemik Search 2022 dibarisi Amy, Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal, awal bulan ini, Shafiqa menyaksikan pula Konsert Search Rockin On Rooftop dijayakan Nordin, Kid, Yan dan vokalis Denden Gonjalez serta pemain dram, Minn, di ibu negara, kelmarin.

Mendekati anak pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad ini selesai Konsert Search Rockin On Rooftop, Shafiqa seronok menjadi sebahagian daripada penonton dua persembahan istimewa itu.

"Semua 'uncles' saya mengagumkan. Saya sangat suka susunan muzik dan lagu mereka.

"Kedua-dua konsert ada 'repertoire' (pemilihan lagu) yang sangat menyeronokkan dan tidak membosankan.

"Jujurnya, saya tidak pernah pergi ke konsert dan menangis, tetapi pada Konsert Endemik Search, saya mengalirkan mata ketika mereka menyampaikan lagu Hello Kawan.

"Ini mengingatkan saya kepada arwah Papa. Search adalah sebahagian daripada arwah Papa saya. Jadi, setiap kali saya tengok lambang Search dan dengar lagu band ini, saya rasa Papa masih ada di sini.

"Dari 1991, iaitu sejak kecil, saya membesar dengan Search. Jadi, biarpun Papa tiada, saya akan sokong semua 'uncles' saya," katanya.

Sementara itu, ditanya soal bantuan kewangan diterima keluarga terutama selepas pemergian bapa tersayang, Shafiqa enggan mengulas lanjut.

"Saya minta maaf. Saya tidak boleh komen lebih lanjut. Bagi saya, ini sangat peribadi untuk keluarga dan anggota Search yang lain. Jadi, saya tiada komen," katanya.

Shafiqa berkata, semua urusan berkaitan Search diuruskan abangnya, Shahmirnuri atau mesra dengan panggilan Boy.

Mengulas dakwaan konon hubungan keluarga dengan Amy keruh, Shafiqa menepis perkara itu.

"Sebenarnya, dari dahulu, saya baik dengan Uncle Amy, Uncle Nasir, Uncle Kid, Uncle Din dan semua keluarga Search. Jadi, saya rasa, saya tiada masalah. Apa yang terjadi adalah antara mereka dan arwah Papa.

"Bagi saya mudah sahaja, orang luar tidak tahu apa yang terjadi dalam kehidupan arwah Papa.

"Apa yang berlaku biarlah antara kami sahaja. Kami tidak perlu hendak membuktikan apa-apa kepada orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 2:36 PM