SEARCH bersama pemain bass Yan (kiri) pada awal 1990-an.
SEARCH bersama pemain bass Yan (kiri) pada awal 1990-an.
ERA album Langit dan Bumi.
ERA album Langit dan Bumi.
KETIKA rakaman klip video pada 1991.
KETIKA rakaman klip video pada 1991.
PULUHAN ribu penonton dalam konsert mereka pada 1980-an.
PULUHAN ribu penonton dalam konsert mereka pada 1980-an.
Oleh Riadz Radzi


Belum ada kumpulan rock tanah air mampu bertahan selama 35 tahun, namun Search sudah membuktikannya.

Walaupun anggotanya pernah bertukar beberapa kali sejak ditubuhkan pada 1981, tetapi Search terus bertahan.

Malah, Search juga pernah dibubarkan dalam satu majlis khas di Kuala Lumpur pada 2001. Ketika itu, nama Search diabadikan dalam sebuah kotak khas dengan dililit rantai besi, dikunci rapi oleh Datuk M Nasir yang juga orang bertanggungjawab memperkenalkan Search.

Pada 2004, mereka kembali bersatu dan hingga hari ini, nama Search terus abadi dalam industri muzik Nusantara khususnya dalam muzik rock.

Pada 9 April ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Search bakal mencipta sejarah dengan konsert istimewa sempena 35 tahun penubuhan mereka iaitu Konsert Search XXXV Since 1981.

Hakikatnya, membesar dengan Search adalah pengalaman manis. Masih segar di ingatan penulis ketika pertama kali menonton aksi Search (Amy, Hillary Ang, Din, Nasir dan Yazit) di Taman Tasik SM Noor di Batu Gajah, Perak pada 1987 dan di Stadium Perak, Ipoh dua tahun kemudian ketika Kid sudah menyertai Search.

Kini, Amy (penyanyi), Nasir (bass), Kid (gitar), Din (gitar) dan Yazit (dram) tetap gah meneruskan legasi Search.

Search - bukan sekadar nama, tetapi mampu menerbitkan inspirasi dari segi muzik, imej dan jenama mereka dalam industri muzik tempatan hingga hari ini.

Bila Search ditubuhkan?

Selain pada 1981, hakikatnya tidak ada seorang pun dalam kalangan anggota Search mengingati tarikh sebenar kumpulan legenda ini ditubuhkan.

“Mungkin Januari? Saya tak ingatlah,” kata Amy ketika ditanya selepas sidang media Konsert Search 35 Tahun di Subang, baru-baru ini.

Malah, pengasas Search iaitu Yazit yang pernah ditanya soalan sama satu ketika dulu juga tidak meng­ingati tarikh sebenarnya.

Apa yang pasti, Search yang berasal dari Johor Bahru ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1981 ketika mereka mengikat kontrak persembahan dengan kelab Red Rooster di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Search yang ketika itu dianggotai Amy (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Yazit (dram) dan Daud (bass) menerima gaji RM900 sebulan daripada kelab berkenaan.

Menurut Yazit, nama Search mula digunakan selepas mereka mengikat kontrak di Red Rooster dan nama itu dipilih berdasarkan undian daripada rakan serumah ketika mereka tinggal di Taman Zoo View, Hulu Klang, Selangor.

Formasi Search 35 tahun

• 1978 - The Second Traffic Jam - Amy (penya­nyi), Hillary Ang (gitar), Yazit (dram) dan Man (bass).

- Inilah pembentukan awal Search yang pertama kali menggabungkan Amy, Hillary dan Yazit. Ketika ini mereka aktif bermain muzik (jamming) di Traffic Jam Studio di bangunan Komtar, Johor Bahru.

• 1980 - Hillary dan Yazit berhijrah ke Kuala Lumpur dan bergabung dengan Zainal (penyanyi/gitar) dan Memek (bass) mengadakan persembahan di kelab Red Rooster.

• 1981 - Amy berhijrah ke Kuala Lumpur selepas dipujuk Yazit dan Hillary. Bersama seorang pemain bass, Daud mereka mengadakan per­sembahan di Red Rooster. Search ditubuhkan.

• 1982 - Amy, Yazit, Man Kidal (gitar), Din (gitar) dan Nasir (bass) masih membuat persembahan di Red Rooster.

• 1983 hingga 1985 - Amy, Yazit, Man Kidal, Din dan Yan (bass).

- Mula mengadakan persembahan di kelab Hard Rock Cafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama komposer dan penerbit album, M Nasir menawarkan Search kontrak rakaman bersama Polygram.

- Album sulung, Cinta Buatan Malaysia dirakam di Lion Studio, Singapura dan proses rakaman hanya mengambil masa dua minggu.

• 1986 hingga 1988 - Amy, Hillary, Yazit, Nasir dan Din.

- Album : Langit & Bumi (1986), Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987), Di Pintu Sepi (1988) & Berpaling (1988).

- Menjalani rakaman album Fenomena di Studio Gins, Jakarta pada 1988.

• 1989 hingga 1998 - Amy, Yazit, Nasir, Din dan Kid (gitar)

- Album : Fenomena (1989), Karisma (1990), Rampage (1992), Double Trouble - bersama Wings (1992), Gema Di Timur Jauh (1995) dan Rock & Roll Pie (1996).

• 1997 - Amy, Yazit, Din, Kid dan Fauzi (bass).

- Album : Double Trouble II - bersama Wings.

• 1998 - Amy meninggalkan Search.

• 1998 - Awie (penyanyi), Yazit, Din, Kid dan Fauzi.

- Album : Bikin Wilayah.

• 1999 - Yazit, Moq (penyanyi), Shah Slam (gitar) dan Zam (bass).

- Album : Selepas Banjir.

• 2001 - Search dibubarkan.

• 2004 - Amy, Nasir, Din, Kid dan Lola (dram).

- Bergabung semula dalam Konsert Evolusi Search 2004 di Stadium Merdeka.

• 2004 - Amy, Yazit, Nasir, Din dan Kid.

• 2006 - Amy, Yazit, Hillary dan Nasir.

- Album : Gothik Malam Edan

• 2009 - Amy, Yazit, Hillary, Din dan Nasir.

- Jelajah Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru.

• 2010 hingga kini - Amy, Yazit, Nasir, Din dan Kid.

- Keadaan kesihatan Yazit mula merosot akibat masalah buah pinggang dan dia digantikan pemain dram jemputan, Pa’a dalam setiap persembahan mereka. Namun, Yazit tetap anggota Search sampai bila-bila.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:03 AM