Cat Farish
Cat Farish
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Cat Farish menjelaskan nilai hutang RM10,000 yang dituntut oleh bekas isterinya sudah dilunaskan. 

Menurut Cat atau pemilik nama penuh Farish Ramli, dia tidak mempunyai hutang dengan mana-mana pihak dan wang yang diperkatakan itu adalah duit kenduri perkahwinan keduanya.

"Saya tak pernah berhutang dengan orang, duit tu adalah duit kenduri dan bagi saya dah selesai semua benda. Benda boleh bincang, WhatsApp terakhir daripada dia pun mengenai motor dan tak ada mesej pun fasal hutang.

"Sebenarnya kejadian ni tak perlu nak disebut pun, bila bercerai ada satu tuntutan yang boleh dibuat dan dibincangkan masa perbicaraan tapi keadaan itu tidak berlaku.

"Motor pun dipulangkan dalam mesej yang cantik dan baru. Saya tak terasa apa pun tentang kenyataan tu," katanya menerusi temu bual baru-baru ini. 

Bakal bernikah dengan kakak kepada pelakon Emma Maembong iaitu Shikin, anggota kumpulan Ruffedge itu terpalit kontroversi apabila dikatakan berhutang dengan bekas isterinya sebanyak RM10,000. 

Tampil menjelaskan perkara itu, Cat memberitahu dia tidak mempunyai hutang dengan mana-mana pihak dan wang yang diperkatakan itu adalah duit kenduri bersama bekas isteri yang sudah diselesaikan.

Dalam pada itu, Cat turut mengakui dia berasa terkejut apabila timbul spekulasi membabitkan bekas isterinya. 

"Saya terkejut bila nama saya terkait berhutang dengan bekas isteri. Boleh saja WhatsApp tak perlu nak berangin," katanya lagi.

Cat Farish pernah berkahwin dengan bekas isteri, Suriani Hassan pada 20 November 2020 namun pasangan itu bercerai pada awal tahun ini.

Walau bagaimanapun, hasil perkongsian hidup mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 6:36 PM