Azhar Sulaiman
Azhar Sulaiman
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, Azhar Sulaiman, 51, mengakui dia dan keluarga masih dalam keadaan terkejut dengan berita pemergian bapa mentuanya, Allahyarham Datuk Pahamin Rajab, 77, yang meninggal dunia, malam tadi.

Terdahulu, berita duka itu dikongsikan Azhar melalui hantaran video di Instagram dengan memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, England.

Dalam videonya, Azhar memberitahu kunjungan Allahyarham ke London itu bagi menghadiri majlis konvokesyen anak lelakinya, Andika Rees Pahamin, 21, yang melanjutkan pengajian di universiti, di sana.

Bagaimanapun, Azhar yang dihubungi Harian Metro memohon maaf tidak dapat memberi sebarang kenyataan lanjut kerana dia dan keluarga masih terkejut dengan berita itu.

"Saya minta maaf, saya tak mampu nak cakap apa-apa buat masa sekarang. Kami masih dalam keadaan 'shocked' (terkejut) dengan pemergian mengejut ayahanda kami.

"Namun, saya dan keluarga memohon kepada orang ramai dan sesiapa saja mengenali Allahyarham ayahanda kami agar sedekahkan Al Fatihah kepada arwah. Terima kasih," katanya menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Azhar mendirikan rumah tangga dengan anak Allahyarham iaitu Chempaka Emalin Pahamin dan dikurniakan tiga anak iaitu Kasih Leia Ixora, 23, serta pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Leona Iris yang berusia 21 tahun.

Difahamkan, Azhar dan semua ahli keluarga yang lain akan berangkat ke London, esok.

Sementara itu, Leona menerusi hantaran di Instagram menyifatkan dengan pemergian datuknya, maka tiada lagi insan yang menjadi tempat dia bertanya mengenai pencapaian dirinya untuk dibanggakan.

"Seakan tidak percaya datuk sudah tiada di sini. Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ini. Terima kasih kerana memberi saya kehidupan yang baik dan sentiasa percayakan saya.

"Sepanjang hidup, saya hanya mahu membuatkan datuk gembira dan kini dia sudah tiada. Saya tidak akan mempunyai peluang lagi untuk bertanya, "Adakah datuk bangga dengan saya?", tulisnya

Leona berkata, dia berasa sedih kerana masanya bersama datuk tersayang di dunia ini sudah berakhir.

Katanya, dia berharap dapat memberikan datuk pelukan terakhir dan mereka bertemu di dalam mimpi.

Allahyarman Pahamin ketika hayatnya pernah memegang jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari tahun 1974 hingga 1998.

Allahyarham yang juga bekas Pengerusi AirAsia Berhad antara lainnya pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula tahun 1998 hingga 2001.

Allahyarham juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 2:05 PM