NAJIB  menghadiri majlis tahlil arwah bapanya di Masjid Ar-Rahah, malam tadi.
NAJIB menghadiri majlis tahlil arwah bapanya di Masjid Ar-Rahah, malam tadi.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengakui amat sukar bagi beliau sebagai anak sulung menerima kenyataan semasa dimaklumkan pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976.

Perdana Menteri berkata, hakikatnya pemergian Allahyarham bukan saja sebagai ketua keluarga tetapi juga pemimpin negara yang banyak berjasa

“Hari ini (semalam) genap 39 tahun sejak kepulangan ayahanda saya ke rahmatullah. Saya masih ingat saat diberitahu bahawa ayahanda saya telah meninggal dunia pada hari itu, amat sukar bagi kami terutamanya saya sebagai anak sulung untuk menerima kenyataan tersebut.

“Sehingga hari ini saya sentiasa ingatkan diri untuk melakukan yang terbaik agar dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Tun Razak. Insya-Allah, al-Fatihah,” katanya dalam status laman sosial Facebook peribadinya, malam tadi.

Terdahulu Najib hadir pada majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk Allahyarham di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; ibunya Tun Rahah Mohd Noah dan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Tun Abdul Razak yang juga Perdana Menteri kedua Malaysia, meninggal dunia di London kerana penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 8:09 AM