Datuk Pahamin Rajab.
Datuk Pahamin Rajab.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon, Azhar Sulaiman, 51, dan dua anaknya Kasih Leia Ixora, 23, dan Kasih Leona Iris, 21 akan berlepas ke London, malam ini bagi urusan pengebumian bapa mentuanya, Allahyarham Datuk Pahamin Rajab yang meninggal dunia, Sabtu lalu.

Azhar berkata, jenazah akan dikebumikan selepas Zuhur esok (waktu tempatan) di Gardens of Peace, Five Oaks Lane, Chigwell, London.

Azhar berkata, buat masa ini dia dan keluarga masih memerlukan masa untuk bertenang selepas dikejutkan dengan berita sedih itu.

Katanya, mereka masih bersedih akibat kehilangan insan tersayang secara mengejut dan sukar baginya menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media ketika ini.

"Insya-Allah, saya akan jawab semua soalan diberikan selepas keadaan kembali tenang. Buat masa ini, saya dan seluruh keluarga masih tidak mampu untuk bercakap apa-apa mengenai arwah ayahanda kami. Nantilah ya.

"Cuma, saya mohon doa daripada semua semoga segala urusan dipermudahkan, dosa Allahyarham ayahanda kami diampunkan dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya kepada Harian Metro menerusi WhatsApp.

Terdahulu, Azhar berkongsi berita sedih itu melalui hantaran video di Instagram dengan memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London.

Dalam videonya, Azhar berkata, kunjungan Allahyarham ke London itu bagi menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki Azhar yang juga cucunya, Andika Rees Pahamin, 21, yang melanjutkan pengajian di universiti, di sana.

Azhar mendirikan rumah tangga dengan anak Allahyarham iaitu Chempaka Emalin Pahamin dan dikurniakan tiga anak iaitu Kasih Leia Ixora serta pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Leona Iris.

Allahyarman Pahamin ketika hayatnya pernah memegang jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari tahun 1974 hingga 1998.

Allahyarham yang juga bekas Pengerusi AirAsia Berhad antara lainnya pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula tahun 1998 hingga 2001.

Allahyarham juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 3:35 PM