GANDINGAN Kmy Kmo, Hazama dan Luca Sickta dalam Makuta.
GANDINGAN Kmy Kmo, Hazama dan Luca Sickta dalam Makuta.
Najiy Jefri


SELEPAS tiga single dengan penyanyi ikonik, Datuk M Nasir menerusi lagu Zuhud, Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat) dan Datuk Jamal Abdillah (Neraca), kini duo hip-hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta tampil berganding dengan penyanyi pop rock popular tanah air, Hazama menerusi lagu berjudul Makuta.

Siapa sangka, pembabitan Hazama dalam lagu Makuta yang bermaksud Mahkota dalam istilah Sunda memberi satu energi luar biasa kepada meraih pelbagai komen positif daripada pendengar.

Kmy Kmo ketika ditemui pada majlis sidang media sempena pelancaran lagu Makuta di ibu negara, baru-baru ini berkata, dia bersyukur apabila impian untuk bekerjasama dengan Hazama akhirnya tercapai.

"Apa yang kami sasarkan dalam lagu Makuta ini sangat tepat apabila Hazama menepati setiap karakter yang kami inginkan. Lagu ini sebenarnya bergenre rock kapak dan Hazama adalah figura atau sosok yang sesuai membawakan lagu ini.

"Lagu ini memang kami cipta khas bersama Hazama. Walaupun kami sedar mungkin ramai yang akan tertanya-tanya kenapa kali ini tidak menggunakan penyanyi yang mempunyai gelaran Datuk dalam single terbaharu, namun selepas dikaji dalam media sosial kami tidak jumpa penyanyi lain.

"Lagipun kalau nak guna kumpulan Search atau Wings, masing-masing begitu sibuk dengan jadual mereka. Apabila Hazama terima lamaran kali ini, kami sangat yakin dengan kemampuan dan aura dimilikinya," katanya.

Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, penghasilan Makuta menitikberatkan gambaran dan amaran yang sudah mahupun bakal berlaku dalam memberi kesedaran kepada pendengar.

"Makuta mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian kita. Makuta juga menjurus kepada ketua, pengurus dan wanita kerana golongan ini mempunyai mahkota dan kuasa tersendiri. Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan makuta (mahkota) sebagai senjata kuasa veto.

Makuta mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian kita.
Makuta mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian kita.

"Tidak dinafikan pengurus atau ketua yang diberikan 'mahkota' dalam satu perbadanan mampu mengubah pengikut menjadi lebih baik dengan penuh rasa tanggungjawab, malah golongan ini juga mampu mempergunakan pengikutnya dengan kuasa 'mahkota' yang diamanahkan demi kepentingan sendiri.

"Jika dilihat dari sudut wanita, 'mahkota' boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berharga, mampu menjadi senjata berbahaya atau membunuh jika digunakan dengan niat jahat," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan judul Makuta berbanding Mahkota yang lebih jelas, Kmy menjelaskan, dia mendidik pendengar dan masyarakat untuk memahami setiap maksud dalam lagu yang disampaikan.

"Jika diikutkan kami boleh saja menggunakan perkataan Mahkota sebagai judul lagu, tapi mungkin perkataan itu tidak dapat menarik perhatian pendengar.

"Lagipun setiap lagu yang kami bawakan pasti peminat atau pendengar akan bertanya mengenai maksud dalam lirik lagu kami, terutama generasi muda. Jadi untuk single terbaharu ini kami memilih tajuk lagu sebagai permulaan pertama untuk mereka mengkaji maksud lagu ini.

"Sekurang-kurangnya generasi muda hari ini dapat belajar sesuatu. Itulah tujuan sebenar kami dalam menghasilkan lagu yang penuh dengan mesej dan maksud mendalam," katanya.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Hazama, Luca Sickta berkata, penyanyi itu seorang yang sangat teliti dalam karyanya dan dalam waktu sama sangat lucu.

"Kerjasama kali ini boleh dikatakan agak berbeza sebab Hazama seorang yang sangat teliti. Contohnya ketika hari pertama rakaman dia sudah tanya saya mengenai hala tuju lagu ini serta meminta keizinan untuk mengubah lagu itu mengikut caranya.

"Sebagai komposer dan penulis lirik saya sentiasa terbuka dalam menerima pandangan. Saya juga mahu setiap penyanyi selesa dengan apa yang mereka buat, kemudian baru kita perbaiki dan cantikkan lagu itu.

HAZAMA teruja berkerjasama dengan dua bakat muda yang hebat.
HAZAMA teruja berkerjasama dengan dua bakat muda yang hebat.

"Malah karakter dia di dalam studio juga sangat berbeza. Kalau di luar dia sangat kelakar tapi ketika proses rakaman dia begitu menghayati setiap lagu yang dibawakan," katanya.

Dalam pada itu, Hazama berkata, pelawaan Kmy dan Luca itu sebenarnya sudah bermula sejak lagu Neraca tetapi dia menolaknya.

"Jika diikutkan, lagu Neraca yang dinyanyikan Luca dan Kmy bersama Datuk Jamal Abdillah menjadi kerjasama sulung kami. Namun, selepas dipertimbangkan, konsep dan eleman lagu itu bersifat nusantara dan seakan tidak kena dengan saya.

"Saya anggap rezeki lagu itu adalah kepada Jamal. Namun, akhirnya, 'jodoh' kami dapat disatukan dalam lagu Makuta," katanya.

Menurut Hazama, dia bersetuju terbabit dalam lagu itu kerana mesej positif yang terkandung dalam liriknya.

"Lagu ini tidak menyindir mana-mana pihak. Ia hanya sekadar teguran buat kita semua. Sebagai penyanyi saya sangat menitik beratkan lirik lagu kerana saya tidak mahu menyindir mana-mana pihak. Kalau lirik itu ada menghukum orang saya akan tolak sebab bagi saya kalau nak menegur ada caranya.

"Jadi menerusi lagu ini sangat menarik untuk dibawakan kerana ia berunsur nasihat dan penuh dengan kiasan. Malah sebelum menjalani proses rakaman pun saya banyak berbual dengan Kmy dan Luca mengenai lagu ini.

"Walaupun pada awalnya agak sukar untuk memahami apa yang mereka mahu, tapi selepas berbincang dan berbual saya akhirnya dapat 'mood' yang mereka inginkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 6:20 AM