Bunga jayakan persembahan pembukaan di Konsert Coldplay
Bunga jayakan persembahan pembukaan di Konsert Coldplay

Kuala Lumpur: Penyanyi Rap, Bunga akan cuba melakukan yang terbaik saat membuat persembahan pembukaan di Konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour yang akan berlangsung pada 22 November ini.

Kenyataan itu ditulis dalam bentuk ciapan di Twitter, tatkala namanya disebut sebagai artis yang tidak layak tampil untuk membuka pentas konsert artis antarabangsa itu.

"Terima kasih banyak-banyak awak. Saya dan pasukan saya akan lakukan yang terbaik!" tulisnya.

Komen itu juga ditulis oleh Bunga untuk membalas sokongan seorang peminat yang berbangga dan mengikuti perkembangannya sejak dia menyertai program 16 Baris lagi.

"Bunga, kalau awak baca tulisan ini, saya sangat berbangga dengan awak yang akan membuka konsert Coldplay di Kuala Lumpur.

"Dari 16 Baris ke pentas dunia. Aku bangga," tulis individu itu yang turut disertakan dengan emoji hati.

Individu itu juga menempelak sikap sesetengah peminat Coldplay yang 'menghentam' dengan komen merendah-rendahkan kewujudan Bunga di dalam industri.

Terdahulu, Bunga pernah menerima pujian daripada penyanyi Rap antarabangsa, Snoop Dog ketika masih berada di dalam program 16 Baris yang dikelolakan oleh penyanyi Rap tanah air, Joe Flizzow itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:52 PM