PENGARUH Coldplay yang disifatkan sebagai  luar biasa sememangnya dinantikan peminatnya dan mampu merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan negara.
PENGARUH Coldplay yang disifatkan sebagai luar biasa sememangnya dinantikan peminatnya dan mampu merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan negara.
BERSAMA Shafiq Shazwan Jefri

Setiap kali nama Malaysia disebut sebagai destinasi untuk konsert artis antarabangsa, setiap kali itu juga, kita akan mendengar pelbagai reaksi.

Ada yang teruja, bahkan ada juga yang menentang dek kerana pelbagai alasan yang ada kalanya, kedengaran seperti ada agenda tersembunyi.

Sebagai pemerhati dari jauh, saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sudah dijangka dan bukan lagi kejutan.

Bintang antarabangsa seperti LaToya Jackson, Michael Jackson, Linkin Park, Mariah Carey, Beyonce, Avril Lavigne, Rihanna, bahkan, Inul Daratista pun pernah ditentang kehadiran mereka di Malaysia.

Namun, ada yang akur dengan syarat yang ditetapkan, dapat meneruskan perjuangan di pentas dan berpanggung di hadapan peminat mereka. Tidak kurang juga ada yang terus berkeras dan menolak untuk hadir.

Terbaharu, kehadiran band dari London, Coldplay mencipta pelbagai kontroversi yang nampaknya semakin memuncak menjelang tanggal 22 November untuk konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour.

Peminat Coldplay menunjukkan 'kegilaan' dan 'keghairahan' yang luar biasa. Bukan hal yang buruk, itu tentunya munasabah memandangkan Coldplay pun, bukanlah band 'mentah' yang perlu dipandang enteng.

Saya yang bukan peminat setia Coldplay pun turut mendengar lagu-lagu mereka memandangkan, nama mereka bukanlah asing ketika zaman saya membesar.

Pada masa sama, pihak tertentu dengan agenda tersendiri juga tidak berhenti menunjukkan 'kegilaan' serta 'keghairahan' mereka untuk menghalang serta menyekat.

Bak kata vokalisnya, Chris Martin dalam satu temu bual bersama stesen radio berbahasa Inggeris tempatan: "Anyone that is not happy that we're coming, we're so sorry but we love you too. That's my message thank you." (Sesiapa yang tidak gembira dengan kahadiran kami, kami mohon maaf tetapi kami juga sayangkan anda. Ini pesanan saya terima kasih).

Berkesempatan berbicara dengan bekas menteri, Khairy Jamaluddin (KJ) baru-baru ini, saya dan rakan media yang hadir meminta pendapatnya mengenai isu itu memandangkan KJ pernah menyuarakan pendapatnya menerusi podcast kelolaannya.

Antara ulasannya yang saya rasakan bernas dan realistik adalah mengenai faktor ekonomi dan pelancongan.

"Kalau kita sekat kehadiran mereka, kita yang akan rugi dari sudut ekonomi dan pelancongan. Selain itu, kerugian juga buat artis-artis tempat untuk mendapat inspirasi daripada kehadiran mereka ini," katanya.

Ya, kita tidak dapat menafikan bahawa acara berskala besar sebegini dapat menjana ekonomi negara dari sektor pelancongan.

Pada masa sama, kehadiran bintang-bintang antarabangsa ini juga dapat membuka mata untuk lebih ramai lagi dalam kalangan mereka untuk hadir mengadakan konsert di sini.

Namun, yang sedikit mengecewakan adalah mengenai isu penjualan tiket dan kehadiran ulat-ulat tiket yang tidak bertanggungjawab.

Penelitian saya di beberapa platform perdagangan online mendapati, masih ada lagi jualan tiket oleh mereka yang menjual semula dengan harga yang tidak masuk akal.

Pada saya, perkara sebegini sepatutnya difikirkan dan perlu ada prosedur untuk menanganinya dengan lebih awal yang dilakukan oleh penganjur.

Mujurlah isu itu kini mendapat perhatian daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan diharapkan dapat ditangani dengan segera.

Apa pun, saya juga teruja dan tidak sabar menantikan kehadiran Coldplay pada November nanti dan bagaimana aksi mereka di pentas konsert yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:00 AM