PROGRAM berbentuk ilmiah menampilkan Wawa Zainal, Scha Alyahya, Hael Husaini, dan Meerqeen di UKM.
PROGRAM berbentuk ilmiah menampilkan Wawa Zainal, Scha Alyahya, Hael Husaini, dan Meerqeen di UKM.
Georgie Joseph


TIADA yang lebih menggembirakan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain apabila dapat bertentang mata dengan lima artis kesayangan mereka iaitu Scha Alyahya, Hael Husaini, Wawa Zainal, Meerqeen dan Aina Abdul, baru-baru ini.

Menerusi program Bual Bicara: Seminar Komunikasi Antarabudaya yang berlangsung di Kolej Ungku Omar pada 2 Jun lalu, ia berjaya memberi perspektif berbeza anak seni di mata ribuan yang hadir pada acara itu.

Dianjurkan pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi (Kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya) dan Ungku Omar Festival, bual bicara berbentuk ilmiah itu jelas menjadi medan segar untuk barisan artis terbabit lontarkan ilmu terpendam.

Memfokuskan kepada perkongsian mereka selaku anak seni yang juga sebagai duta kecil Malaysia di persada antarabangsa, ternyata masing-masing punya pendapat mengagumkan.

Scha misalnya yang sudah hampir dua dekad dalam industri dan kerap ke luar negara menghadiri pelbagai acara berprestij mengakui anak seni pun penting tugasnya sebagai perantara budaya.

Satu hal yang dia sedari adalah Malaysia masih terkebelakang sedikit berbanding negara dunia ketiga lain. Katanya, di situlah dia berharap pembabitan anak seni setiap kali bercampur dengan orang luar perlu ada impak.

"Kalau dalam lingkungan negara dunia ketiga, terdapat banyak negara yang jauh lebih dikenali daripada Malaysia. Jadi apa yang kami lakukan secara tak langsung, sedikit sebanyak harapnya dapat memberi impak kepada negara kita.

"Kita sebenarnya tidak tahu nasib kita bila boleh popularkan diri sendiri, jadikan negara kita terkenal. Ini disebabkan, saya ada berborak dengan artis Thai yang sangat terkenal, dia pun tak sangka dia berlakon satu cerita Netflix saja. Terus meledak," katanya.

Berdasarkan perbualan dengan orang luar, Scha mendapati sokongan rakyat sendiri menjadi tunjang paling berhasil jika mahu artis kita diangkat dan mencuri perhatian di luar negara.

AINA Abdul memukau seperti biasa.
AINA Abdul memukau seperti biasa.

"Sekarang ini apa yang kita buat, sokongan daripada kita semua, sebenarnya secara tidak langsung membantu nama Malaysia untuk lebih dikenali. Itu sebenarnya penting.

"Kalau ada ramai pengikut, secara tak langsung orang kenal kita, tahu persamaan kita dengan negara lain. Ya, kita dalam industri hiburan tetapi secara tak langsung seperti ahli-ahli sukan yang cuba mengharumkan nama Malaysia," katanya.

Bagi komposer dan penyanyi Hael pula, pengalaman bekerja dengan produksi contohnya di Korea Selatan membuka matanya apapun, budaya sendiri tetap dijadikan rencah utama sebagai promosi.

"Walaupun mereka menggunakan artis-artis bernama besar, tapi agenda utama mereka adalah memperkenalkan adat-adat ataupun tradisi miliknya di mata dunia," katanya.

Justeru, dia sendiri mengambil pendekatan sama apabila artis luar diajak ke Malaysia untuk jayakan projek bersama.

Katanya, menyesuaikan diri adalah kunci utama apabila bertandang ke 'rumah' orang.

"Sama juga macam saya, apabila berada di sini, saya kenalkan mereka pasal Malaysia, budaya, dan adab. Kalau sebagai Melayu, pasal adab itu tak perlu diterapkan lagi. Kita tinggi dengannya.

"Kita memang akan boleh hidup kalau campak ke negara mana pun. Yang penting kita kena bertoleransi, ada hal boleh dilakukan dan perlu hormat mengenai budaya mereka," katanya.

Dikendalikan Wartawan Harian Metro, Sudirman Tahir selaku moderator, selain Scha dan Hael, Wawa pula banyak berkongsi pengalaman sebagai ahli perniagaan, manakala Meerqeen sebagai pelakon baharu.

Kemuncak program itu dihangatkan dengan kemunculan Aina mempersembahkan dua lagu iaitu I Will Go To You Like The First Snow nyanyian asal Ailee dan Terus Hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 6:30 AM