Pelakon, Meerqeen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Pelakon, Meerqeen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Georgie Joseph


Bangi: Bukan setakat tembusi pasaran Indonesia, pelakon Meerqeen, 22, bercita-cita tinggi untuk mengintai peluang dapat membina nama di Hollywood pula selepas ini.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam bahkan sudah sedia menyahut apa juga cabaran demi menggapai impian itu.

"Saya sedia. Macam saya cakap, saya suka cabaran. Saya suka bermimpi. Saya sudah bayangkan berada di tokok itu. Sekarang ini tugas saya adalah merealisasikan apa dalam otak itu.

"Semestinya saya sedia untuk melakukannya. Sebab saya ini seorang 'opportunist'. Jadi bila ada peluang, saya pergi. Saya ada kata hikmat, jika perlu wang, sahutlah peluang.

"Jadi saya pegang hal itu. Kerana untuk karier juga, dalam semua yang kita buat. Semestinya peluang itu saya sahut," katanya ditemui pada acara Bual Bicara: Seminar Komunikasi Antarabudaya, di Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Mewakili selebriti Malaysia untuk hadir ke sebuah acara berprestij jenama terkenal dunia di New York, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, membuka matanya terus terbang tinggi.

"Sebenarnya banyak yang boleh saya kongsi tapi saya kongsi sedikit sajalah. Saya ada juga dengar tawaran tertentu tapi belum masa untuk kongsi," katanya.

Pertama kali setuju menjayakan program bual bicara sebegitu, Meerqeen berkata dia sebenarnya gementar untuk bercakap pasal dirinya.

Bagaimanapun, dia percaya penting untuk mencetus inspirasi kepada semua khususnya penuntut di UKM itu.

"Biasanya saya tak kongsi sangat pengalaman dan cerita hidup sendiri. Tapi ini masanya untuk saya dedahkan kepada umum. Saya rasa orang perlu tahu dan dapat inspirasi," katanya.

Selain Meerqeen, panel lain yang terbabit adalah Scha Alyahya, Hael Husaini, dan Wawa Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 12:32 PM