Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Pelakon, Farid Kamil hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini ditemani ibu bapanya, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah.

Farid yang hadir untuk prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkata, mereka hadir untuk memberikan sokongan dan doa buatnya.

"Hari ini, ibu dan ayah sampai memberi sokongan dan memberi doa-doa yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Zahari hanya memberi komen ringkas dan berharap agar semuanya berjalan lancar.

"Harap yang terbaiklah," katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pihaknya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri Faridm, Diana Danielle, 32, pada 6 April lalu selepas Farid tidak dibenarkan pulang ke rumah dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.

"Hari ini adalah laporan keputusan daripada JKP dan pihak kami juga ada failkan tuntutan nusyuz pada 6 April lalu, jadi hari ini adalah sebutan pertama.

"Jadi hari ini mahkamah akan beri arahan dan untuk sebutan pertama nusyuz, Diana akan memasukkan pembelaan.

"Mahkamah akan putuskan sama ada berlakunya shiqaq atau pun tidak iaitu perbalahan yang tidak dapat diselamatkan. Kalau ada perbalahan yang tidak dapat diselamatkan, mahkamah akan lantik hakam kerabat dan seterusnya hakam mahkamah. Kemungkinan mahkamah akan tetapkan tarikh lain untuk lantik hakam kerabat tadi," katanya.

Terdahulu, pada prosiding pagi tadi di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan 8 Ogos bagi keputusan inter-parte (kedua-dua pihak) Diana Danielle dan Farid Kamil berhubung hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua anak mereka, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak memaklumkan akan memfailkan dokumen hujahan berkaitan kes secara serentak.

Pada 24 Mac lalu, Diana memperoleh hadanah interim dua anaknya oleh mahkamah yang sama.

Farid Kamil hadir bersama ibu bapanya, Datuk Dr Zahari Che dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah bagi laporan JKP dan sebutan pertama Nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. FOTO AZIAH AZMEE
Farid Kamil hadir bersama ibu bapanya, Datuk Dr Zahari Che dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah bagi laporan JKP dan sebutan pertama Nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:37 PM