Kuala Lumpur: Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama Perempuan Itu yang tular di media sosial. 

TV3 dalam satu kenyataan media berkata, adegan yang dipaparkan dalam video 'teaser' drama itu tidak sesuai disiarkan.

"Adegan yang dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi. Malahan adegan itu juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen.

"Perkara in tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama tempatan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Film (LPF). 

"TV3 ingin mengingatkan semua pihak yang membabitkan produksi dan pelakon supaya menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan serta menjaga sensitiviti agama dan masyarakat terutamanya dalam menjayakan mana-mana karya," demikian dalam kenyataan itu.

Terdahulu tular video 'teaser' drama itu selepas dimuat naik pelakon Zul Ariffin di Instagram hingga mencetuskan kontroversi selain mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Menerusi video terbabit, Zul dilihat melakonkan beberapa babak panas dengan pelakon baru, Siti Hariesa.

Antara yang mencuri perhatian adalah ketika Zul merangkul badan Hariesa dan menggendong wanita itu dari depan.

Tidak hanya itu, terdapat juga babak agak mengghairahkan ketika Hariesa menyuapkan 'whipped cream' ke dalam mulut Zul sebelum dia menghabiskannya.

Bagaimanapun, Zul mengambil tindakan memadam video dimuat naik.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 8:34 AM