ANI meriahkan konsert Goyang Asia Koplo Milenia. - FOTO Rohanis Shukri
ANI meriahkan konsert Goyang Asia Koplo Milenia. - FOTO Rohanis Shukri
ANI anggap semua artis perlu menjaga imej. - FOTO Rohanis Shukri
ANI anggap semua artis perlu menjaga imej. - FOTO Rohanis Shukri
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


PENYANYI dangdut Ani Maiyuni menyelar tindakan segelintir penyanyi dangdut yang sengaja mencetus kontroversi di media sosial sehingga memberi persepsi negatif daripada banyak pihak.

Ani atau nama sebenarnya, Aishah An Nur Osman berkata, tindakan itu turut menyebabkan dia merasai tempiasnya.

Katanya, artis terbabit tidak sepatutnya terlalu taasub mencipta kandungan sensasi di media sosial semata-mata meraih perhatian ramai.

"Saya lebih selesa mempertaruhkan bakat. Disebabkan sikap sesetengah artis itu, saya pun terkena tempias apabila ada yang minta saya untuk komen. Dia yang cipta 'content' untuk dimaki, kemudian kata diri mangsa," katanya pada Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, baru-baru ini.

Ani yang popular dengan lagu Sedap berkata, ketika di awal kemuncaknya sekitar awal 2000, dia juga bergelek ketika mempersembahkan lagu dangdut, namun tidak pula dilabel lucah dan dikecam kerana berdangdut.

"Dulu waktu saya mula-mula menyanyi, saya turut bergelek, tapi tiada pula dicap gelek kami lucah. Sekarang beza, penyanyi dangdut dihina dan dikecam semata-mata sebab bahan dalam sosial media.

"Jadi, yang salah adalah artis itu sendiri, bukan dangdut. Apabila situasi sebegini diperkatakan, kami turut terheret sama," katanya.

Ani menegaskan tidak kira genre muzik apa pun, seseorang penghibur seharusnya menunjukkan imej yang baik sebagai contoh kepada masyarakat.

Tambahnya, dia turut berasa kesal kerana industri hiburan tanah air kurang mengetengahkan kelebihan yang ada bagi artis dangdut sepertinya.

"Sebenarnya peluang membuat persembahan itu ada, namun kami membuat persembahan dalam acara yang dikendalikan artis lain, bukan kami sendiri.

"Kami sebagai penyanyi dangdut ini hanya dapat membuat persembahan sekiranya mendapat undangan daripada artis yang melakukan acara pertunjukan muzik," katanya.

Dalam masa sama, Ani meluahkan kesukaran untuk penganjur mengadakan persembahan konsert dangdut di tanah air turut didorong beberapa faktor sehingga menyukarkan pihak terbabit melaksanakannya.

Sementara itu, mengulas mengenai konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan, Ani berkata, gabungan bersama penyanyi dangdut Indonesia itu adalah sebahagian cara menaikkan dan menghidupkan lagi genre dangdut di negara ini.

Gabungan artis dua negara serumpun ini bakal menggegarkan kembali industri dengan muzik dan lagu dangdut.

Mengulas lebih lanjut, mereka bakal membawakan tiga lagu setiap seorang dan membuat persembahan kolaborasi dalam konsert itu.

Selain Ani, konsert itu turut menampilkan Baby Shima dan barisan penyanyi dangdut popular dari Indonesia antaranya Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesti Klepek Klepek dan Rhena Morena.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 6:46 AM