Konsert Milenia dibarisi gabungan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia
Konsert Milenia dibarisi gabungan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Bagi menjernihkan suasana daripada tempias kontroversi, penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Milenia kini mengambil keputusan untuk menukar nama acara itu kepada Konsert Milenia Live in Kuala Lumpur.

Penganjur, Mission Sight mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu bagi memberi definisi lebih universal buat konsert yang menggabungkan artis dangdut Malaysia dan Indonesia itu.

"Pihak kami sedar bahawa apabila disebut dangdut koplo, sudah pasti ia akan mendapat reaksi dan persepsi negatif masyarakat. Tambahan pula, muzik koplo yang asalnya dari Indonesia, cukup sinonim dengan tarian yang agak seksi.

"Kerana itu, dalam memartabatkan muzik dangdut di Malaysia, maka, kami tampil dengan persembahan berbeza sekali gus menonjolkan seni dalam muzik itu sendiri tanpa menjaja elemen negatif dalam kalangan masyarakat," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu juga, Mission Sight turut memperkenalkan tiket 'harga rahmah' dengan membuat pengurangan harga sebanyak 50 peratus bersempena Bulan Kemerdekaan Malaysia.

Konsert Milenia Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 30 September 2023 di Stadium Malawati Shah Alam dan menggabungkan penyanyi dangdut hebat dari kedua-dua negara antaranya Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hety Klepek-klepek dan Rheyna Morena.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 4:23 PM