ANTARA babak menarik dalam drama. - FOTO Aizuddin Saad
ANTARA babak menarik dalam drama. - FOTO Aizuddin Saad
Ramlah Zainal


KISAH seorang remaja iaitu Fariz yang bercita-cita menjadi penyanyi terhalang dengan garis masa lampau cinta tiga segi bapanya, Rashid, antara paparan menarik dalam drama bersiri 20 episod, Janji Di Bawah Pokok Ceri arahan Asri Baq'u Tajudin.

Asri berkata, Fariz bukan saja berjaya mencapai impiannya sekali gus cinta lama yang kembali berputik.

"Cerita ini dihasilkan dari cetusan idea saya bersama penulis skrip, Engku Seri Kelantan dan Haneem Balqis. Jalan cerita juga diolah untuk disesuaikan dengan keadaan zaman sekarang.

"Pihak stesen RTM juga beri kelonggaran dari segi bahasa untuk menarik golongan muda menonton drama ini," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri itu di Kajang, baru-baru ini.

Mengenai pemilihan barisan pelakon pula, kata Asri, ia dipilih mengikut kesesuaian skripnya.

"Penyanyi yang digilap dari program realiti popular, Akademi Fantasia 2015, Sharul Kamal dan pelakon baharu, Wafariena Roslan atau Wafa dipilih sebagai teraju utama drama bersiri ini. Sharul melakonkan watak utama sebagai Fariz yang juga penyanyi buskers dalam cerita ini.

BARISAN pelakon dan kru terbabit dalam penggambaran drama bersiri Janji Di Bawah Pokok Ceri. - FOTO Aizuddin Saad
BARISAN pelakon dan kru terbabit dalam penggambaran drama bersiri Janji Di Bawah Pokok Ceri. - FOTO Aizuddin Saad

"Saya pernah menonton lakonannya dalam filem Seratus di Netflix dan saya percaya dengan kemampuannya dalam lakonan. Wafa pula melakonkan watak Anna Cinta Sari yang juga seorang pelakon dalam drama bersiri ini," katanya.

Asri berkata, penggambaran bermula pada penghujung Mac lalu dan dijangka selesai awal bulan depan. Ia membabitkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Tanjung Malim dan Pulau Pinang.

Menurut Asri, ia juga pengalaman pertamanya mengarahkan drama bersiri dan ia bukan mudah untuk memastikan perjalanan jalan ceritanya supaya penonton tidak bosan.

"Saya juga menyuntik elemen drama Korea dalam cerita ini. Bukan mudah untuk menyelami jiwa anak muda sekarang yang hidup dalam zaman media sosial ini," katanya.

Asri berkata, dalam zaman sekarang, tiada istilah perpisahan kerana kita boleh berhubung semula menerusi medium media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.

"Begitu juga mereka yang mahu menjadi penyanyi boleh memuat naik rakaman lagu mereka di saluran YouTube saja,"katanya.

Selain Sharul Kamal dan Wafariena, drama ini turut menampilkan lakonan Rusdi Ramli, Marissa Yasmin dan Firdaus Ghufran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 6:42 AM