ANTARA babak  menarik dalam Bantal Busuk Ucu.
ANTARA babak menarik dalam Bantal Busuk Ucu.
MARSHA (tengah) sebagai Syakilla.
MARSHA (tengah) sebagai Syakilla.
ADEGAN Zahiril dan Marsha dalam satu babak.
ADEGAN Zahiril dan Marsha dalam satu babak.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Nama Zahiril Adzim dan Marsha Milan sememangnya dikenali dalam industri seni tanah air.

Bakat Zahiril diakui hebat terutama apabila melakonkan karakter berat, manakala Marsha pula lebih dulu dikenali dalam nyanyian sebelum terjun dalam lakonan.

Terbaru, mereka dicabar melakonkan karakter komedi romantik dalam telefilem berjudul Bantal Busuk Ucu arahan MP Roslin yang akan menemui penonton menerusi slot Citra di TV2 jam 10 malam ini.

Mula menimba pengalaman di pentas teater, Zahiril mengakui sukakan cabaran dalam kariernya. Tidak hairanlah dia menyambut peluang ini bagi membuktikan dirinya seorang pelakon serba boleh.

“Memang diakui saya bukan seorang pelakon komedi dan sering membawakan watak yang serius dalam lakonan, tapi itu tak bermakna saya tak boleh melakonkan watak yang berbeza pula.

“Lagipun setiap pelakon tak boleh terikat atau selesa dengan satu-satu karakter saja. Saya perlu mencontohi pelakon senior sebelum ini yang boleh melakonkan apa saja watak yang diberikan,” katanya.

Zahiril berkata, menerusi telefilem ini dia bukanlah dipaksa melakonkan watak komedi yang dibuat-buat, sebaliknya elemen itu ditampilkan secara selamba sama ada dalam bentuk dialog mahupun perbuatan.

“Alhamdulillah, saya pernah juga berlakon beberapa drama komedi sebelum ini dan respons daripada peminat tak mengecewakan. Mereka boleh terima lakonan saya sebaiknya.

“Ketika ini drama saya berjudul Dalam Iradatmu sedang ditayangkan menerusi TV Al Hijrah. Ia juga mempunyai elemen komedi dan boleh dikatakan drama ini mencatat rating yang baik,” katanya.

Menerusi drama terbitan Enuja Production Sdn Bhd ini, Zahiril memegang watak pemuda bernama Alif Haikal yang tidak boleh berenggang dengan bantal busuknya walau ke mana pun.

Orangnya kacak, pandai bergaya dan mampu membuat hati gadis cair, tetapi tabiatnya itu mengundang masalah sehinggakan sukar untuknya bertemu gadis yang memahami dan menerima kekurangannya.

“Saya cuba bawakan karakter ini mengikut pemahaman sendiri selain berbincang dengan pengarah. Tiada masalah bekerja dengan MP Roslin kerana kami saling mengenali dan dia juga pengarah berpengalaman.

“Saya juga suka bekerja dengan Marsha serta pelakon lain kerana masing-masing ada cara lakonan sendiri. Apabila digabungkan sudah pasti hasilnya juga baik,” katanya.

Marsha tetap ambil serius

Marsha pula sememangnya sinonim membawakan karakter ringan dalam setiap lakonan. Dia melakonkan watak Syakilla, gadis yang cuba mengubah tabiat buruk Alif Haikal agar berubah menjadi lelaki normal.

“Memang diakui saya sinonim dengan karakter ringan dan rezeki saya lebih menyerlah dengan watak begini. Bagaimanapun, saya tetap ambil berat tanggungjawab yang diberikan.

“Saya tak buat sambil lewa kerana nak yang terbaik. Seboleh mungkin saya berikan kelainan agar watak ini tak nampak serupa dengan karakter lakonan saya sebelumnya.

“Syakilla ada cabarannya sendiri kerana dia seorang majikan yang perlu berdepan dengan stafnya, Aliff Haikal yang mempunyai karakter pelik. Bayangkan dia akan bawa bantal busuknya walaupun dalam studio, ke pejabat dan ketika sedang bermesyuarat.

“Saya cuba memisahkan dan tak berjaya. Cerita ini sangat menarik dan disebalik elemen komedi yang ditampilkan, peminat akan tersentuh dengan rahsia disebalik bantal busuk ini,” katanya.

Pelakon lain yang membintangi telefilem ini ialah Jasmin Hamid, Roy Azman, Nazeera Sardi, Shakila Koriri dan Mak Mah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 10:31 AM