Zulin dan suami
Zulin dan suami
Zaara Talita


Kuala Lumpur : "Doakan yang baik-baik hubungan kami semakin rapat selepas apa yang berlaku. Lebih baik saya tidak memanjangkan perkara ini."

Demikian ulas pelakon Zulin Aziz mengenai isu rumah tangga yang hampir menemui titik noktah.

Demi menghormati keluarganya, dia memilih untuk mengunci mulut dan enggan mendedahkan secara terperinci punca pergaduhan.

"Orang boleh membuat spekulasi tentang apa yang berlaku, tetapi hanya kami berdua saja tahu puncanya. Lagi kita bercakap, lagi banyak perkara tak baik keluar dari mulut orang.

"Itu adat dalam rumah tangga, apatah lagi kami baru setahun dalam perkahwinan. Kadang-kadang perkara-perkara kecil pun boleh menjadi punca.

"Apa pun kami berdua berdoa semakin matang," kata Zulin kepada Harian Metro. Zulin menjelaskan insiden itu sedikit sebanyak membuatkan dia dan suami, Farhan Norzaini menjadi lebih matang dalam menguruskan rumah tangga.

Terdahulu, Zulin tiba-tiba memuat naik foto pernikahannya dengan suami, Farhan Norzaini di Instagram berserta keterangan gambar yang membayangkan mereka sudah berpisah.

Malah, Zulin juga menegaskan perkongsian mengenai rumah tangganya dengan Farhan Norzaini di Instagram bukanlah sekadar gimik atau 'content' seperti yang didakwa segelintir netizen.

Mohon hentikan sebarang spekulasi, Zulin berkata hanya orang tidak waras sahaja menjadikan hal rumah tangga sebagai bahan gurauan.

Zulin dan Farhan bernikah di Masjid Negara, di sini dalam majlis berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (Jawi) pada 20 Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 8:38 PM